GAYA HIDUP

Di Sebalik Cabaran Pembangunan, Warisan Lembah Bujang Terus Dirungkai

01/06/2026 02:23 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

SUNGAI PETANI, 1 Jun (Bernama) -- Di sebalik nilai sejarahnya yang besar, Lembah Bujang di sini masih berdepan pelbagai cabaran dalam usaha memelihara tinggalan arkeologi, termasuk pembangunan di kawasan bersejarah serta salah faham berkaitan pemuliharaan candi.

Pembantu Muzium Kanan, Muzium Arkeologi Lembah Bujang Mohd Faudzi Sulaiman berkata perubahan landskap kawasan sekitar menyebabkan sebahagian lokasi yang pernah menjadi tapak penemuan sejarah kini berubah fungsi akibat pembangunan dan perubahan guna tanah.

Beliau berkata terdapat kawasan yang dahulunya menjadi lokasi penemuan sejarah kini digunakan sebagai sawah padi dan ladang, selain ada yang berada di atas tanah milik persendirian sehingga menyukarkan usaha ekskavasi diperluaskan.

pic-2

“Kawasan seperti Sungai Mas contohnya, apabila kita mahu meluaskan ekskavasi, ada kawasan yang sudah masuk kawasan rumah penduduk dan ini menyukarkan penerokaan dilakukan dengan lebih menyeluruh,” katanya kepada Bernama sempena program Surreal Experience In The North Kedah & Perlis anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara, baru-baru ini.

Mohd Faudzi yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam bidang permuziuman berkata penyelidikan berkaitan Lembah Bujang masih giat dijalankan, termasuk di Bukit Choras di Yan, Kedah yang kembali menjadi tumpuan penyelidik susulan penemuan tapak baharu berhampiran kawasan yang pernah diteroka sebelum ini.

pic-3

Beliau berkata Bukit Choras merupakan antara tapak arkeologi penting dalam kawasan Lembah Bujang dan pernah menarik perhatian penyelidik susulan penemuan pelbagai struktur serta artifak berkaitan sejarah Kedah Tua.

Katanya Tapak 1 Bukit Choras mula mendapat perhatian penyelidik sejak dijumpai oleh Kolonel Sir James Low pada 1845, sebelum beberapa siri kajian dijalankan dari semasa ke semasa termasuk oleh H.G. Quaritch Wales, pegawai Muzium Arkeologi Lembah Bujang Kamaruddin Zakaria pada 1984 dan Prof Madya Dr Nasha Rodziadi Khaw dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia pada 2023.

“Kajian di bahagian tapak yang pernah diekskavasi sebelum ini menemukan satu lagi struktur candi serta patung Buddha bersaiz besar dan kerja penyelidikan di situ masih diteruskan secara berfasa sehingga kini,” katanya.

pic-4

Selain Bukit Choras, Mohd Faudzi berkata penemuan baharu turut direkodkan di Kota Kuala Muda apabila Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia menemukan satu lagi tapak yang dinamakan Candi Kampung Baru.

“Kajian di tapak berkenaan juga masih dijalankan dan menambah lagi potensi penemuan berkaitan sejarah Kedah Tua pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata pihak muzium juga pernah berdepan salah faham dalam kalangan segelintir masyarakat yang menganggap usaha pemuliharaan candi sebagai cubaan membina semula struktur lama.

pic-5

“Ada sedikit salah faham mengenai perkara ini. Kita bukan bina semula sesuka hati kerana semua ini dilakukan untuk tujuan kajian sejarah dan memahami ketamadunan Kedah Tua,” katanya.

Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang dibuka secara rasmi pada 23 Jan 1980 merupakan muzium arkeologi pertama di Malaysia yang dibina khusus bagi mempamerkan artifak berkaitan Lembah Bujang dan Kedah Tua.

Mohd Faudzi berkata muzium itu diwujudkan susulan penemuan artifak di kawasan Lembah Bujang yang meliputi kira-kira 1,000 kilometer persegi dari Cherok To' Kun di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang hingga ke Bukit Choras di Yan, Kedah.

pic-6

Katanya muzium itu mempunyai dua galeri utama yang memfokuskan penemuan arkeologi serta sejarah perdagangan, sekali gus memberi gambaran mengenai kehidupan dan perkembangan Kedah Tua suatu ketika dahulu.

Bagi menarik minat masyarakat terutama generasi muda, pihak muzium turut menganjurkan pelbagai aktiviti seperti sesi bicara, bengkel dan program eksplorasi berkaitan sejarah dan arkeologi.

“Tahun lepas kita menerima kira-kira 130,000 pelawat dan setiap tahun menunjukkan peningkatan,” kata Mohd Faudzi yang berharap orang ramai bukan sekadar datang melawat, tetapi turut menghargai dan memelihara warisan Kedah Tua agar tinggalan sejarah itu dapat terus diwarisi generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2563561