KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas naungan serta kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam memayungi negara berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Anwar berkata di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Kerajaan MADANI terus melangkah dengan penuh dedikasi dan keyakinan dalam melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara berpaksikan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Kerajaan MADANI tertegak dan kukuh dengan kesetiaan dan perpaduan rakyat yang rata-rata dipupuk semangat serta tekad untuk membina negara meski berdepan dengan badai dan sikap perkauman.
“Demikian hikmah yang kita warisi dari leluhur bangsa dan pejuang kemerdekaan. Maka muafakat keramat negara tersebut telah menzahirkan Perlembagaan yang menyediakan sistem yang mewajarkan kehadiran sistem beraja sebagai pemelihara agama Islam serta menjamin keadilan dan kesaksamaan rakyat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian semasa merafak sembah ucapan pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Anwar berkata kerajaan akan meneruskan usaha mematangkan proses demokrasi dan memperkukuh negara hukum (mengikut hukum dan peraturan), selaras dengan penekanan Sultan Ibrahim terhadap kepentingan tatakelola yang teratur dan memerangi pemunggahan kekayaan terhafap kelompok kecil.
“Kerajaan bertekad untuk melaksanakan dasar yang saksama, menjamin pengagihan kepada semua negeri dan wilayah terutamanya kalangan miskin dan terpinggir,” kata beliau.
Menyentuh mengenai ketidaktentuan dunia termasuk tekanan ekonomi global, perubahan iklim, ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta dinamika geopolitik serantau yang semakin kompleks, beliau berkata kerajaan terus melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi menjamin kestabilan negara dan mengurangkan beban rakyat.
“Maka, cabaran mengemudi bahtera negara harus lebih bijak dengan mengharungi kemelut dengan menetapkan dasar dan ikhtiar yang menjamin kestabilan dan mengurangkan beban ditanggung rakyat.
"Antara prakarsa yang dihamparkan termasuk langkah penjimatan cermat, penyasaran subsidi minyak RON95 dan Budi MADANI,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata program bantuan bersasar terus diperhalusi selain pengukuhan jaringan keselamatan sosial dan usaha membendung kos sara hidup dilaksanakan secara berhemah bagi memastikan kehidupan rakyat lebih stabil serta sejahtera.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata prestasi ekonomi negara terus mencatatkan pertumbuhan meyakinkan melalui peningkatan pelaburan dan kadar pengangguran rendah, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur antarabangsa meskipun berdepan cabaran global.
“Reformasi fiskal yang dilaksanakan dengan berhemat, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana, serta agenda transformasi digital membuka ruang dan peluang pekerjaan bermutu khususnya buat generasi muda,” kata beliau.
Mengakhiri sembah ucapan beliau, Anwar menjunjung kasih atas pemerintahan Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai lambang penyatuan dan keluhuran negara.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja terus dikurniakan rahmat, kesejahteraan dan keafiatan serta kekal memerintah dengan penuh daulat, hikmah dan kebesaran.
“Seluruh rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda, serta memperteguh azam serta ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta,” kata beliau.
Istiadat pengurniaan itu merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.
-- BERNAMA