KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Selepas lebih setahun membantu Liverpool FC menjulang trofi Liga Perdana Inggeris yang ke-20, ketua jurulatih Arne Slot meninggalkan kelab itu berkuat kuasa serta-merta.
Liverpool FC mengesahkan pemergian Slot menerusi kenyataan rasmi hari ini, selain memaklumkan pencarian pengurus baharu sedang dilakukan.
Pemilik Liverpool menzahirkan penghargaan terhadap Slot yang membawa kejayaan sejak jurulatih dari Belanda itu menyertai kelab berkenaan pada Jun 2024, selain kepimpinan yang dipamerkannya sepanjang dua tahun mengendalikan pasukan itu.
“Tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah keputusan yang sukar untuk dibuat oleh kelab. Sumbangan Arne kepada Liverpool FC sepanjang bersama kami amat besar, bermakna dan yang paling penting buat penyokong serta kami sendiri adalah kejayaan,” menurut kenyataan itu.
Tidak hanya membantu skuad The Reds menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris, jurulatih berusia 47 tahun itu turut menamatkan kempen 2024-25 dengan dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik Tahunan Persatuan Pengurus Liga (LMA).
Slot turut membimbing pasukan itu mara ke perlawanan akhir Piala Carabao dan pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara UEFA pada musim yang sama.
Beliau kemudiannya memastikan kelab itu layak ke Liga Juara-Juara UEFA untuk musim kedua berturut-turut pada 2025-26, selain membawa skuad The Reds mara ke suku akhir kejohanan yang sama.
Walaupun meraih kejayaan di bawah bimbingan Slot, pemilik Liverpool memaklumkan kelab itu percaya “perubahan adalah perlu” untuk langkah seterusnya.
“Bagaimanapun, kesimpulan yang kami capai adalah berdasarkan kepercayaan bahawa hala tuju pasukan ini lebih baik ditangani melalui pertukaran arah. Perkara itu tidak mengurangkan usaha yang telah dilakukan Arne di sini atau rasa hormat kami terhadapnya. Ia juga bukan mencerminkan kekurangan bakat yang dimilikinya. Sebaliknya, ia menunjukkan keperluan kepada pendekatan yang berbeza,” menurut kenyataan itu.
Kelab berkenaan turut memaklumkan pencapaian Slot di Anfield akan sentiasa dikenang oleh para penyokong.
“Arne meninggalkan kami dengan penghargaan yang tinggi, dengan gelaran Liga Perdana atas namanya, dan dengan pengetahuan bahawa beliau serta keluarganya sentiasa dialu-alukan untuk kembali ke Anfield,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA