KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling berharap kerja baik pulih dan penyelenggaraan sistem landasan dapat dipertingkat susulan insiden sebuah tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, pagi tadi.
Seorang pesara, Augustin Francis, 67, berkata beliau mengetahui tentang insiden itu selepas dimaklumkan rakannya tetapi tetap memilih menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk ke ibu negara.
“Saya sudah menggunakan perkhidmatan ini lebih 30 tahun dan memang bagus tetapi nampaknya sudah usang terutamanya trek (landasan) yang rasanya perlu ditukar kerana sebelum ini sudah dua atau tiga kali berlaku masalah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stesen Chan Sow Lin, hari ini.
Francis yang mengalami kelewatan dalam perjalanan akibat insiden itu berharap kerja penyelenggaraan dapat dilakukan lebih kerap dan tidak hanya secara berkala.
Sementara itu, Norhamirah Hamdi, 36, berkata dia yang membawa anak-anak berjalan bersempena dengan cuti sekolah tidak mengetahui mengenai insiden terbabit sehingga dimaklumkan oleh polis bantuan.
Dalam pada itu tinjauan Bernama mendapati kerja baik pulih sedang dijalankan Rapid KL di lokasi insiden yang terletak kira-kira dua hingga tiga minit perjalanan dari Stesen Chan Sow Lin menuju Cheras.
Tinjauan turut mendapati masih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan tren berkenaan yang kini dijadikan tren perantara bagi laluan antara Stesen Pudu, Chan Sow Lin dan Cheras.
Pada masa sama, polis bantuan serta kakitangan Rapid KL sibuk membantu dan memberi panduan kepada pengguna di stesen berkenaan.
Terdahulu, Bernama melaporkan sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin, pagi ini sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan laluan berkenaan.
Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian yang berpunca daripada kerosakan suis landasan itu menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak.
Ketika kejadian, terdapat sebanyak 25 penumpang berada di dalam tren terbabit dan mereka telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi serta tiada kecederaan dilaporkan.
-- BERNAMA