EKONOMI

Tenaga Kini Jadi Pemacu Penting Pertumbuhan Ekosistem AI, Pusat Data - TNB

21/05/2026 11:55 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

 

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Tenaga bukan lagi sekadar membekalkan elektrik kepada kediaman, malah menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serta perkembangan pesat pengkomputeran, pusat data, pembuatan termaju dan mobiliti elektrik.

Pertumbuhan pesat pusat data turut meningkatkan permintaan terhadap elektrik, menggariskan peranan ekonomi digital yang meningkat serta keperluan terhadap bekalan tenaga yang stabil dan dipercayai.

Ketua Pegawai Kanan Rangkaian Tenaga Nasional Bhd (TNB) Mahathir Nor Ismail berkata Malaysia kini memasuki dekad baharu yang menyaksikan permintaan terhadap elektrik meningkat didorong oleh ‘kategori baharu penggunaan elektrik’ seperti pusat data yang memerlukan bekalan tenaga rendah karbon yang stabil sepanjang masa.

“Di Malaysia sahaja, terdapat 36 pusat data dengan gabungan kapasiti kira-kira 4.5 gigawatt (GW) manakala 23 projek lagi dengan kapasiti kira-kira 3.7GW sedang dalam pembinaan dan 79 projek dengan kira-kira 25.6GW pada peringkat perancangan.

“Pada peringkat global, penggunaan elektrik juga dijangka terus meningkat pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya ‘Energy for AI’ menjadi bidang tumpuan utama di Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang mempunyai kaitan rapat dengan pertumbuhan ekonomi digital dan masa depan sistem tenaga.

 

Landskap Permintaan Tenaga Baharu

Mahathir Nor berkata pertumbuhan AI telah membentuk semula landskap permintaan tenaga negara dengan ketara, dengan permintaan terhadap elektrik menjadi lebih berterusan, kompleks dan pada skala besar serta tidak lagi bersifat kitaran.

“Unjuran menunjukkan bahawa permintaan terhadap elektrik boleh meningkat kira-kira empat hingga enam peratus setahun. Peningkatan ini bukan hanya didorong oleh pusat data, malah elektrifikasi industri, bangunan pintar dan mobiliti elektrik.

“Ini bermakna sistem tenaga perlu berkembang untuk menyokong pelbagai beban baharu secara serentak dan 24/7,” katanya. 

Oleh itu, katanya TNB sedang memperkukuh kesiapsiagaan melalui pembangunan grid pintar, digitalisasi dan pelaburan dalam tenaga boleh baharu untuk menyokong pertumbuhan ekonomi AI.

“Teknologi seperti AI digunakan untuk ramalan beban dan penyelenggaraan ramalan bagi memastikan sistem lebih cekap dan proaktif. Pada masa yang sama, TNB membina grid yang lebih fleksibel untuk menyokong pelbagai sumber permintaan baharu,” katanya.

Mahathir Nor berkata pelaburan berskala besar dalam infrastruktur tenaga diperlukan bagi memastikan Malaysia mampu menyokong pertumbuhan pesat ekonomi AI secara berterusan dan stabil.

Di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), katanya sebanyak RM43 bilion telah diperuntukkan untuk memodenkan dan mengukuhkan grid di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), dua kali ganda pertambahan berbanding kitaran sebelumnya, RP3.

“Dalam konteks ini, keterjaminan bekalan tenaga terus menjadi keutamaan TNB agar rangkaian grid dapat memenuhi pertumbuhan permintaan dan bersedia untuk peralihan tenaga menerusi pertambahan kapasiti tenaga boleh baharu.

“Selain itu, inisiatif seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dapat memastikan bekalan kekal konsisten dengan menyimpan dan menyalurkan tenaga mengikut keperluan, seterusnya mempertingkat kecekapan grid,” katanya.

Beliau berkata pencapaian penting telah dicapai di bawah inisiatif itu dengan pelancaran BESS Santong di Dungun, dengan kapasiti 100 megawatt (MW) atau 400 megawatt-jam (MWh) — pertama di Malaysia disambungkan ke grid. 

Mahathir Nor berkata projek itu, yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada Isnin lepas dapat menampung permintaan terhadap elektrik yang bersamaan dengan menjana tenaga kepada 40,000 isi rumah.

 

Potensi Malaysia sebagai Hab Digital Serantau

Mahathir Nor berkata Malaysia berpotensi besar untuk muncul sebagai hab digital serantau dengan memanfaatkan infrastruktur grid yang stabil, kos tenaga kompetitif serta akses terhadap tenaga boleh baharu.

Beliau berkata menerusi inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN (APG), Malaysia dapat memperkukuh fleksibiliti bekalan dan keterjaminan tenaga menerusi perkongsian tenaga rentas sempadan.

“Malaysia berperanan penting dalam memastikan kejayaan APG menerusi beberapa projek besar, termasuk (inisiatif tenaga) Ketersambungan Vietnam-Malaysia-Singapura (VMS).

“Inisiatif sedemikian membolehkan Malaysia menawarkan bukan setakat kos yang kompetitif, tetapi kebolehpercayaan serta kemampanan tenaga yang menjadi antara perkara utama dititikberatkan oleh pelabur global,” katanya.

 

Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26)

Beliau berkata ETCon26 yang bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Jun, 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, tidak hanya menguatkan lagi sinergi antara tenaga dan AI, sebaliknya turut menjadi platform strategik bagi menggalakkan dialog berkaitan pelaksanaan peralihan tenaga di Malaysia dan rantau ASEAN. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan persidangan itu pada hari kedua.

Mengulas lanjut, Mahathir Nor berkata ETCon26 akan mengetengahkan keperluan membangunkan lebih banyak sistem tenaga lebih fleksibel dan pintar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi masa depan.

“Menerusi ETCon26, hasil impak yang disasarkan adalah melangkaui perbincangan, malah turut melibatkan tindakan konkrit seperti pelarasan dasar, pelaburan strategik dan pelaksanakaan teknologi seperti grid pintar dan tenaga bersih.

“Persidangan ini menjadi platform yang menghimpunkan kalangan pengawal selia, kerajaan, pelabur dan penggiat di bawah matlamat sama untuk memastikan pertumbuhan AI disokong oleh sistem tenaga yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Objektif utama ETCon26 ialah menyelaraskan dasar, pelaburan dan inovasi teknologi dalam satu ekosistem kolaboratif atau kerjasama melibatkan kalangan pembuat dasar, penggiat industri, pelabur dan orang awam.

Bertemakan ‘Energy & AI: The Synergy for Energy Transition’, persidangan itu menumpukan tiga tonggak utama -- ‘Energy for AI’, ‘AI for Energy’ dan ‘Energy Transition (ET) for People’.

‘Energy for AI’ menyentuh aspek penekanan terhadap langkah memastikan tenaga bersih bagi menyokong dunia digital, ‘AI for Energy’ mengenai usaha menjadikan sistem bekalan tenaga lebih cekap dan dipercayai manakala ‘Energy Transition for People’ memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dinikmati secara inklusif serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Pihak yang berminat boleh mendaftar menerusi laman web persidangan di www.the-etconference.com (https://the-etconference.com/) serta menggunakan kod promosi ETCON26BERNAMA bagi menikmati tawaran istimewa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559816