AM

5,455 Aduan Kandungan Dalam Talian Direkodkan Di Sabah - MCMC

16/05/2026 04:36 PM

PAITAN, 16 Mei (Bernama) -- Sebanyak 5,455 aduan kandungan dalam talian direkodkan di Sabah sejak 2023 hingga Mei 2026, dengan kes penipuan dalam talian mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 1,500 kes.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kes buli siber serta pornografi kanak-kanak di negeri ini juga berada pada tahap yang membimbangkan.

“Bagi daerah Sandakan sahaja, sebanyak 998 aduan telah diterima dengan 384 kes daripadanya melibatkan penipuan dalam talian, sekali gus menuntut pengukuhan kesedaran keselamatan Internet yang lebih tinggi,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 di sini hari ini, yang bertujuan memberikan pendedahan kepada komuniti luar bandar tentang keselamatan digital serta risiko siber.

Program di Dewan Datuk James Ratib, Pekan Botition di sini yang menarik lebih 1,000 pengunjung itu merupakan penganjuran pertama peringkat komuniti di Sabah, dan 19 lagi siri karnival akan dilaksanakan di seluruh negeri menerusi pendekatan turun padang.

Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif telah diadakan termasuk pameran agensi, sesi perkongsian keselamatan Internet, aktiviti kekeluargaan, dan juga advokasi komuniti.

Pendaftaran Wira Internet Selamat (WIS) turut dibuka sebagai inisiatif sukarelawan komuniti bagi membantu memperluas mesej penggunaan Internet secara selamat dan berhemah di Sabah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557876