KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Masa hadapan sektor penjagaan kesihatan kini berkembang pesat, daripada diagnostik AI hinggalah penjagaan pencegahan serta berasaskan gaya hidup, sekali gus menjadikan Health Summit Asia (HSA) 2026 sebagai platform serantau utama, untuk golongan profesional meneroka inovasi, mendapatkan pandangan industri dan berhubung terus dengan peneraju yang membentuk era baharu penjagaan kesihatan dan kesejahteraan.
Berlangsung dari 20 hingga 22 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sidang kemuncak itu akan menghimpunkan penyedia perkhidmatan kesihatan, pengamal kesejahteraan, penggubal dasar dan inovator dari seluruh Asia.
Anjuran Qube Integrated Malaysia bersama-sama Green Wellness Malaysia selaku penganjur bersama, acara itu menggabungkan SEACare, platform penjagaan kesihatan B2B utama Malaysia, serta International Wellness Expo (IWE) di bawah satu bumbung.
Qube dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa peluasan itu mencerminkan perubahan serantau ke arah penjagaan pencegahan, kesejahteraan holistik dan perubatan gaya hidup, seiring dengan penggunaan pesat AI serta penyelesaian kesihatan digital di seluruh dunia.
“Laporan Deloitte 2025 Global Health Care Outlook menjelaskan bagaimana peralatan digital kini sedang mengubah diagnostik dan keterlibatan pesakit.
“Di Asia, keperluannya lebih mendesak. Laporan Mercer’s Health Trends 2026 mengunjurkan inflasi perubatan sebanyak 12.5 peratus di seluruh rantau ini, dengan Malaysia merekodkan 15 peratus manakala kebanyakan pasaran lain turut mencatat peningkatan dua digit,” menurut kenyataan itu.
Qube berkata peningkatan kos penjagaan kesihatan mendorong penyedia perkhidmatan dan majikan menilai semula model penjagaan, sementara teknologi AI dan kesihatan digital menawarkan kaedah baharu untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan hasil rawatan.
“Malah, pasaran AI penjagaan kesihatan di Asia dijangka berkembang pesat, dipacu oleh teleperubatan, diagnostik dan analitik ramalan. Pada masa sama, kesejahteraan bukan lagi sekadar pelengkap kepada penjagaan kesihatan, sebaliknya semakin disepadukan dengannya.
“HSA 2026 bukan sekadar pameran teknologi, malah ia mencerminkan penyatuan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan dalam satu ekosistem,” menurut kenyataan itu lagi.
Qube dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa HSA 2026 akan menampilkan persidangan yang boleh dituntut melalui HRP Corp, dengan menawarkan 20 mata Continuing Professional Development (CPD) daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta 20 mata CPD daripada Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).
Peserta juga boleh meneroka pameran yang menampilkan peranti perubatan, diagnostik boleh pakai, platform kesihatan digital serta inovasi kesejahteraan, manakala sesi padanan perniagaan akan menghubungkan pemain industri, jenama dan pengamal dari seluruh rantau ini.
Qube berkata sidang kemuncak itu bertujuan memperkasakan inovasi tempatan sambil menarik penyertaan global, sekali gus meletakkan Asia Tenggara sebagai hab baharu bagi penyelesaian penjagaan kesihatan dan kesejahteraan bersepadu.
Pendaftaran bagi pameran dan persidangan boleh dibuat menerusi Health Summit Asia.
-- BERNAMA