PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Keputusan kerajaan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bukan bermaksud mengorbankan dasar pendidikan negara atau mengiktiraf sistem lain.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata dasar pendidikan negara kekal tidak berubah, dengan syarat utama untuk melangkah masuk ke IPTA masih berasaskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Semalam apabila (kerajaan) membuat keputusan untuk membuka ruang, bukan memberikan pengiktirafan (kepada sistem lain) kita tidak akan berubah, kita tidak akan mengiktiraf sistem lain.
"Sama ada anda daripada aliran mana sekali pun, sekolah itu sekolah antarabangsa ke, SMPC (Sekolah Menengah Persendirian Cina), sekolah agama, yang tidak mengikut kurikulum kebangsaan, maka anda kena ikut sistem kita," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, di sini hari ini.
Beliau berkata keputusan itu telah dipolemik sehingga mencetuskan perbahasan mengenai sistem pendidikan negara.
"Perbahasan (timbul) berkaitan dengan sistem pendidikan sebagai contoh apabila kita melakukan ini, maka kita mengorbankan sistem pendidikan kita. Ini antara yang berlaku," katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan ke IPTA melibatkan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan SMPC, namun ia telah dimanipulasi beberapa pihak termasuk parti politik, yang mendakwa kerajaan telah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
-- BERNAMA