AM

70 Peratus Pindaan Akta MARA Fokus Perkukuh Tadbir Urus

14/05/2026 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kira-kira 70 peratus daripada cadangan pindaan terhadap Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 akan tertumpu kepada aspek pengukuhan tadbir urus institusi yang telah berusia 60 tahun itu.

Pengerusi MARA Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Akta MARA 1966 sedia ada memperlihatkan pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada Pengerusi dan Majlis MARA tanpa pemisahan kuasa yang jelas antara lembaga pengarah dengan pengurusan.

Beliau berkata pindaan besar-besaran menerusi Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 amat kritikal bagi mengelakkan sebarang salah laku, manipulasi demi kepentingan individu tertentu, kecuaian serta penyimpangan dalam tatakelola kewangan pada masa hadapan.

“MARA hari ini mengurus aset bernilai RM23 bilion melibatkan 345 institusi pendidikan, selain sektor pembangunan usahawan dan pelaburan, justeru RUU ini amat penting dalam konteks pemisahan kuasa bagi mengatur dan mengawal selia urusan pentadbiran serta pengurusan organisasi, di samping memperkukuh elemen semak dan imbang.

“Bagi tujuan itu, pindaan yang dicadangkan antaranya mewajibkan pewujudan organ tadbir urus seperti Jawatankuasa Audit MARA, Jawatankuasa Pelaburan MARA, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus MARA serta Jawatankuasa Risiko MARA,” katanya dalam ucapan pada Sesi Libat Urus RUU MARA 2026 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak.

Asyraf Wajdi berkata turut dicadangkan ialah penubuhan bahagian pematuhan syariah bagi memastikan setiap transaksi pembiayaan dan pengurusan kewangan agensi itu selari dengan hukum Islam, memandangkan MARA berkait rapat dengan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

“Perincian mengenai komposisi dan peranan setiap jawatankuasa itu perlu dijelmakan dengan jelas dalam akta bagi mengelakkan sebarang penyimpangan atau pertindihan peranan.

“Langkah ini penting kerana pemimpin boleh datang dan pergi, Pengerusi MARA boleh datang dan pergi, ahli majlis boleh datang dan pergi, tetapi institusi MARA mesti kekal utuh dengan tadbir urus yang tersusun dan teratur,” katanya.

Beliau berkata sejak digubal 60 tahun lepas, Akta MARA 1966 hanya melalui beberapa pindaan kecil pada 1972, 1973, 1975 dan kali terakhir pada 2002.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Mei lepas dilaporkan berkata cadangan pindaan Akta MARA 1966, yang disifatkannya sebagai “kubu” perundangan bagi memastikan agenda pemerkasaan bumiputera kekal utuh, dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556952