ALOR GAJAH, 14 Mei (Bernama) -- Melaka memperuntukkan lebih RM22 juta dalam belanjawan negeri bagi memperkasakan sektor kesihatan dalam tempoh tiga tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan keutamaan kerajaan negeri untuk memperkukuh sistem perkhidmatan dan penyampaian kesihatan kepada rakyat serta kesejahteraan warga kesihatan yang menjadi tulang belakang perkhidmatan tersebut.
“Perkembangan sektor kesihatan negeri tidak boleh dipandang ringan kerana sistem kesihatan kita sedang berhadapan pelbagai tekanan, baik daripada segi jumlah pesakit dan kerencaman penyakit selain jangkaan rakyat yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan kesihatan.
“Justeru, kerajaan negeri tidak mahu sektor kesihatan di Melaka sekadar bertahan tetapi kita mahu ia menjadi antara yang paling diyakini rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Seuntai Kasih, Semekar Legasi Warga Kesihatan Parlimen Masjid Tanah di sini malam tadi.
Ab Rauf berkata sepanjang tiga tahun itu, lebih 87 klinik kesihatan di seluruh negeri termasuk 13 klinik kesihatan dan klinik desa dalam Parlimen Masjid Tanah berjaya dinaik taraf bagi memastikan akses rawatan lebih selesa dan berkualiti kepada rakyat.
Beliau berkata blok wanita dan kanak-kanak Hospital Melaka juga akan dibina tahun ini sebagai langkah penting memperkukuh kapasiti kesihatan negeri untuk masa hadapan.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri amat bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek pembinaan Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak yang bakal memberi manfaat besar kepada anggota dan keluarga pasukan keselamatan.
Beliau berkata pada peringkat kerajaan negeri, beberapa inisiatif memperkasakan sektor kesihatan diperkenalkan seperti komuniti yang berperanan memberi bantuan awal kecemasan kepada orang awam, inisiatif 1 PBT 1 Ambulans dan memasang sistem kecemasan di lokasi pelancongan utama.
“Kerajaan negeri sedang memperjuangkan keperluan pembinaan hospital baharu di Melaka sebagai satu usaha penting untuk memperkukuh sektor kesihatan negeri pada masa depan.
“Ini kerana hospital utama kita telah berkhidmat hampir 90 tahun dan saya percaya rakyat Melaka berhak menikmati kemudahan kesihatan lebih moden dan selesa serta lebih bersedia menghadapi cabaran kesihatan masa hadapan,” katanya.
Pada majlis itu Ab Rauf mengumumkan sumbangan berjumlah RM11,500 kepada pesara kesihatan dalam Parlimen Masjid Tanah dan sumbangan RM1,500 kepada lima srikandi kesihatan yang telah lama berkhidmat dalam sektor itu.
-- BERNAMA