KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi tumpuan kepada misi berorientasikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar dapat membangunkan keupayaan dalam sesetengah sektor bagi menghadapi impak krisis bekalan global.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat mingguan Majlis Sains Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Beliau berkata krisis di Asia Barat memberi pencerahan kepada negara tentang keperluan membangunkan teknologi sendiri.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada negara lain, terutama dalam bidang teknologi, sektor makanan dan perubatan.
“Maka, melalui mesyuarat mingguan semalam, kami akan memberi tumpuan kepada beberapa misi negara agar kami melaksanakan misi berorientasikan R&D,” katanya selepas merasmikan Hari Istimewa Sains (HIS) 2026 di Pusat Sains Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang keperluan kerajaan untuk membangunkan teknologi ketenteraan sendiri susulan konflik di Asia Barat.
Chang ketika ditanya tentang perkembangan program tenaga nuklear negara berkata program itu di bawah bidang kuasa MyPower Corporation sebagai organisasi pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO).
“Mereka (MyPower) sedang menjalankan kajian awal. MOSTI akan terlibat dalam keseluruhan proses pelaksanaan program berkenaan namun, program ini masih di peringkat kajian,” katanya.
-- BERNAMA