JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tingkat Rondaan Cegah Jenayah Susulan Kes Pecah Rumah, Samun Di Durian Tunggal

10/05/2026 02:41 PM

ALOR GAJAH, 10 Mei (Bernama) -- Polis akan meningkatkan rondaan pencegahan jenayah dan sekatan jalan raya di sekitar Durian Tunggal di sini susulan kejadian pecah rumah dan samun yang dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata usaha berkenaan akan dilaksanakan secara berkala bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat sekali gus meningkatkan keyakinan mereka terhadap kesiapsiagaan polis menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

"Kita juga telah mengenal pasti beberapa hotspot yang akan dilaksanakan rondaan pencegahan jenayah dan sekatan jalan raya bagi menunjukkan keberadaan polis dan komitmen berterusan dalam memerangi jenayah.

"Sebagai contoh, pada malam ini (malam tadi), kita lakukan sekatan jalan raya di Jalan Padang Keladi dan Taman Angkasa Nuri selain rondaan di beberapa lokasi dikenal pasti berisiko berlaku jenayah," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya di sini lewat malam tadi.

Beliau berkata operasi berkenaan disertai empat pegawai dan 30 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan Balai Polis Durian Tunggal.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk di beberapa kawasan di Durian Tunggal mendakwa mereka hidup dalam kebimbangan susulan kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata.

Penduduk dilaporkan mendakwa sejak Oktober tahun lepas hingga April tahun ini dihantui kes samun di kawasan itu dipercayai didalangi kumpulan penjenayah sama.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555158