KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat, susulan hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi.
Berdasarkan perkongsian orang awam di laman sosial, di ibu negara insiden banjir kilat dikesan melanda beberapa kawasan antaranya di Ampang dan Sungai Besi.
Di Selangor, kawasan terjejas di Petaling Jaya melibatkan Seksyen 51, Jalan 223, sekitar PJS 2, 4 dan 6, Taman Medan, Sri Manja serta Buana Perdana, manakala di Shah Alam di Seksyen 7, Seksyen 13 dan kawasan belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selain itu, Bukit Raja dan sekitar Kapar di Klang turut dinaiki air, manakala di Gombak serta Batu Caves, beberapa kawasan terjejas serta berlaku kejadian pokok tumbang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlarutan melanda Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hingga 10 malam.
Amaran cuaca buruk yang dikeluarkan pada 7.20 malam itu, turut membabitkan kebanyakan negeri serta beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
-- BERNAMA