AM

Lebih 7,000 Guru Manfaatkan Program Pengurusan Kewangan FINCO

08/05/2026 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Program Latihan Kejurulatihan (TTT): Pengurusan Kewangan Peribadi Guru yang bertujuan memperkukuh amalan kewangan peribadi telah memberi manfaat kepada lebih 7,000 guru sekolah kerajaan di seluruh negara, setakat Mac lepas.

Financial Industry Collective Outreach (FINCO) yang bertindak sebagai pengendali program itu menerusi kenyataan hari ini memaklumkan data yang dikumpul selama tiga bulan selepas latihan menunjukkan perubahan tingkah laku yang signifikan dalam kalangan peserta.

Menurut kenyataan itu, 62 peratus peserta menyimpan lebih 10 peratus daripada pendapatan bulanan mereka, meningkat 24 peratus berbanding data asas, manakala 58 peratus menyimpan atau melabur lebih 10 peratus untuk persaraan, iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus.

"Pencapaian ini selari dengan agenda dasar nasional di bawah Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 serta Rangka Kerja Rangkuman Kewangan 2023-2026 khususnya dalam meningkatkan keupayaan membuat keputusan kewangan, menggalakkan simpanan, memperkukuh persediaan persaraan dan membina daya tahan kewangan," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan maklum balas peserta, seorang guru dari Melaka berkata program itu membuka peluang kepada beliau mempelajari dan berkongsi pengetahuan kewangan praktikal dengan rakan sekerja selain lebih aktif menganjurkan aktiviti berkaitan kewangan untuk pelajar di sekolah.

Program TTT itu yang turut diterajui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran pengurusan kewangan praktikal yang mampu membawa perubahan nyata dalam kehidupan peserta.

Program itu diperluaskan kepada guru sekolah kerajaan di seluruh negara bermula Oktober 2025 selepas seramai 209 guru serta pensyarah daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mengikuti latihan untuk menjadi jurulatih bertauliah pada Ogos hingga September tahun lepas.

Mengulas kepentingan serta impak program TTT, Ketua Pegawai Eksekutif FINCO Clare Walker berkata kesejahteraan kewangan guru memainkan peranan penting dalam keberkesanan mereka di bilik darjah.

“Guru merupakan tulang belakang sistem pendidikan negara dan kesejahteraan kewangan mereka secara langsung mempengaruhi kebolehan mereka untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bilik darjah serta menjadi sumber inspirasi kepada pelajar.

“Sambutan daripada para guru serta penerimaan dan penggunaan ilmu yang diterima sepanjang program membuktikan betapa pentingnya pendidikan kewangan praktikal seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi FINCO Tan Sri Azman Hashim berkata kerjasama industri penting dalam mencapai  impak yang mampan kerana industri kewangan turut mempunyai kepentingan dan tanggungjawab sosial dalam meningkatkan literasi kewangan negara.

"Rakan-rakan dalam sektor kewangan memainkan peranan penting bukan sekadar dari segi pembiayaan tetapi juga melalui perkongsian kepakaran bagi memastikan kandungan program relevan, tepat dan memberi impak. 

"Sinergi antara sektor pendidikan dan kewangan ini amat penting untuk membentuk budaya pengurusan kewangan berhemah dalam kalangan guru dan seterusnya pelajar mereka,” katanya.

Program TTT dilaksanakan melalui kerjasama industri yang diselaraskan FINCO, dengan penyertaan AmBank Group, Bank Muamalat Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Yayasan CIMB, Hong Leong Bank, Public Bank, RHB Bank, FWD Insurance dan Sea Ltd.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554473