POLITIK

PH Anjur Konvensyen Pakatan Harapan 2026 Di Johor Pada 17 Mei Ini

08/05/2026 11:29 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan Konvensyen Pakatan Harapan 2026  bertemakan “Tekad Madani, Harapan Rakyat” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada 17 Mei ini.

Menurut kenyataan bersama pimpinan gabungan itu, konvensyen yang berlangsung dari 8 pagi hingga 6 petang itu menjadi platform memperkukuh kesepaduan kepimpinan dan organisasi, menyelaras gerak kerja politik serta memperincikan hala tuju PH dalam mendepani cabaran semasa negara.

“Sebagai teraju Kerajaan MADANI, PH terus memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik serta keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” maklum kenyataan itu.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan pada konvensyen berkenaan.

Turut dijadual hadir ialah pimpinan utama gabungan bagi memperkukuh kesatuan dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa.

Kali terakhir Konvensyen PH diadakan ialah pada 2022 dan penganjuran semula program itu mencerminkan komitmen berterusan gabungan dalam memperkukuh organisasi, memperkasa agenda reformasi dan memastikan aspirasi Kerajaan MADANI terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554345