KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Data aplikasi MyMinyak akan diintegrasikan ke dalam Sistem Permit Bekalan sebagai usaha mengekang ketirisan serta memastikan penyaluran petrol bersubsidi kepada nelayan lebih telus dan berkesan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilaksanakan bagi memastikan tiada ruang berlakunya ketirisan atau penyalahgunaan bahan api bersubsidi.
Beliau berkata penggunaan teknologi melalui aplikasi MyMinyak turut diperkasakan sebagai mekanisme kawal selia utama bagi memantau kelayakan serta kuantiti pembelian di lapangan.
“LKIM akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini di semua peringkat bagi memastikan nelayan di bawah seliaan menerima manfaat seadilnya.
“Apa-apa tuntutan dan keperluan lain nelayan berkaitan penyaluran subsidi bahan api adalah dalam peringkat penelitian tentang kaedah penyaluran yang berkesan dan usaha mengekang ketirisan subsidi,” katanya.
Dalam pada itu, LKIM menyambut baik pengumuman KPDN bahawa peraturan permit khas bagi pembelian petrol bersubsidi melebihi 20 liter tidak meliputi pembelian petrol bersubsidi untuk nelayan.
Muhammad Faiz menjelaskan penyaluran subsidi petrol nelayan mempunyai mekanisme kawal selia melalui aplikasi MyMinyak bagi memastikan subsidi digunakan mengikut peraturan ditetapkan di stesen minyak yang disenaraikan oleh LKIM.
“Sehubungan itu, nelayan berdaftar dan tersenarai boleh terus memanfaatkan petrol bersubsidi melebihi 20 liter tanpa memerlukan permit khas, tertakluk kepada peruntukan sedia ada iaitu 50 liter sehari,” katanya.
-- BERNAMA