JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Lelaki Didakwa Edar Dadah Lebih 130 Kg Di Tawau

06/05/2026 03:22 PM

TAWAU, 6 Mei (Bernama) -- Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 130.57 kilogram (kg) di sini, bulan lepas.

Ng Chuan Tong, 51, yang bekerja di premis peminjam wang berlesen dan Herman Patte, 35, seorang penghantar barang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama-sama mengedar dadah berbahaya, iaitu methamphetamine yang berat kasar 130,575.18 gram di Batu 15 Jalan Apas, di sini pada 9.30 malam, 21 April lepas.

Ng dan Herman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, manakala kedua-dua lelaki itu tidak diwakili peguam.

Majistret Dayang Aidaku Amira kemudian menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes, selain tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh.

-- BERNAMA

 

 

 


 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2553496