JENAYAH & MAHKAMAH

Malaysia Berjaya Dapatkan Semula RM31.3 Bilion Dana 1MDB yang Diseleweng - KP SPRM

06/05/2026 12:29 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion atau 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng setakat tahun lepas, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata kejayaan itu sekali gus menjadi antara rekod kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi skandal jenayah kewangan berskala besar.

Jumlah yang berjaya diperoleh semula itu juga melepasi anggaran awal sebanyak 70 peratus atau RM30 bilion yang dinyatakan dalam beberapa laporan sebelum ini.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen teguh kerajaan dalam mendapatkan semula aset negara yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, serta selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  untuk memastikan setiap aset yang hilang dikesan dan dikembalikan kepada negara.

“Setakat ini, berdasarkan data yang ada, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng ialah RM42 bilion.

“Jumlah nilai aset yang berjaya diperoleh semula hingga 2025 ialah RM31,301,717,268.56, bersamaan 74.5 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diseleweng,” katanya pada sidang media berkaitan penghantaran pulang karya seni yang dikaitkan dengan 1MDB di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Beliau berkata proses pemulihan aset susulan skandal 1MDB bermula pada 2019 dengan RM1.155 bilion berjaya diperoleh semula pada tahun itu, diikuti RM14.257 bilion pada 2020 dan RM5.117 bilion pada 2021.

“Kemudian pada 2022, sebanyak RM400.38 juta diperoleh semula, RM8.088 bilion pada 2023, RM715.95 juta pada 2024 dan RM1.566 bilion tahun 2025,” katanya.

Azam berkata usaha pemulihan aset negara itu melibatkan kerjasama strategik antarabangsa dan proses perundangan dengan pelbagai pihak termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. 

Beliau berkata usaha itu juga dilaksanakan menerusi mekanisme seperti Bantuan Perundangan Bersama, perkongsian risikan kewangan, perbincangan dua hala dan tindakan pelucuthakan aset rentas sempadan melibatkan negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.

“Antara aset utama yang berjaya diperoleh semula ialah hasil jualan kapal layar mewah Equanimity berjumlah kira-kira RM543 juta, selain pemulangan sebuah jet peribadi dan hartanah di luar negara,” katanya.

Azam berkata Malaysia turut berjaya memperoleh penyelesaian global melibatkan institusi kewangan antarabangsa seperti Goldman Sachs Group Inc, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS, selain firma audit Deloitte PLT dan KPMG PLT, yang secara keseluruhan menyumbang berbilion ringgit kepada negara.

“SPRM juga sedang giat mendapatkan semula hasil jualan lukisan Claude Monet berjudul Vétheuil au Soleil, yang dijual di Switzerland pada harga kira-kira EUR25.2 juta atau kira-kira RM114 juta.

“Dana itu kini tertakluk kepada prosiding penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan usaha mendapatkan semula wang berkenaan sedang diteruskan melalui saluran perundangan, serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland,” katanya.

Azam berkata SPRM akan terus komited mengesan dan mendapatkan semula setiap aset yang diseleweng tanpa mengira lokasi atau tempoh masa.

“Insya-Allah semua ini akan dapat dikembalikan kepada negara dalam tempoh yang terdekat, mungkin hingga 2027. Usaha ini bukan sahaja untuk memulihkan aset negara, tetapi juga untuk mengembalikan maruah dan keyakinan terhadap institusi negara kita.

“Tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang dan setiap sen milik rakyat akan dipastikan dikembalikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2553389