ISKANDAR PUTERI, 5 Mei (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab Thailand, Buriram United FC bersedia untuk berentap pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) esok di Stadium Sultan Ibrahim di sini.
Perlawanan itu dijangka menarik perhatian peminat bola sepak di seluruh rantau, dengan kedua-dua pasukan berhasrat memperoleh kelebihan awal sebelum aksi timbal balik pada 13 Mei di Stadium Buriram.
Ketua jurulatih JDT Xisco Munoz berkata para pemainnya bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik dengan menekankan kepentingan intensiti dan fokus dalam setiap aspek permainan.
Beliau berkata pasukan akan berusaha memberikan persembahan terbaik sejak minit pertama dengan tahap intensiti tinggi, selain menegaskan setiap pemain perlu mencapai prestasi maksimum.
“Kami berada dalam momentum yang baik dan akan terus berusaha sebaik mungkin,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Namun begitu, Xisco enggan mendedahkan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan esok.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dan gembira apabila pasukan berjaya mara ke peringkat separuh akhir serta kekal berada dalam kelompok pasukan terbaik bola sepak Asia Tenggara.
Sementara itu, ketua jurulatih Buriram United FC, Mark Jackson berkata anak buahnya berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya, fokus dan bersemangat untuk menghadapi perlawanan tersebut.
Beliau berkata aksi di tempat lawan tidak akan menjejaskan prestasi pasukan, sebaliknya memberi peluang untuk merangka strategi yang lebih baik.
“Ini adalah perlawanan timbal balik, jadi tiada apa yang akan ditentukan esok. Kami akan memberi tumpuan penuh untuk melaksanakan pelan permainan kami,” katanya.
JDT mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara dengan 11 mata manakala Buriram United FC menjuarai Kumpulan A dengan sembilan mata.
-- BERNAMA