JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Mengamuk Guna Pisau Di Damansara Perdana

05/05/2026 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan yang bertindak agresif dan mengamuk sambil memegang dua bilah pisau di kawasan lot kedai di Damansara Perdana dekat Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Damansara diarah ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati suspek berada di tangga bersebelahan sebuah premis sambil memegang dua bilah pisau. 

"Anggota polis bertindak menghampiri dan mengarahkan suspek menyerah diri sebelum dia ditahan tanpa sebarang insiden," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

Orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2553227