JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Lelaki Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan Di Kuala Krai

06/05/2026 12:23 AM

KOTA BHARU, 5 Mei (Bernama) -- Dua lelaki maut, manakala tiga lagi cedera termasuk seorang  Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Simpang Tiga Manik Urai Lama, Kuala Krai, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 9.12 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu Perodua Kembara, Mohd Yusof Mat Yasim, 64, dari Kampung Pahi, serta penumpang hadapan Honda City, Muhamad Irfan Zaidin, 20, dari Kampung Pangkal Pisang, Peringat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.12 pagi sebelum jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata tiga mangsa yang cedera ialah seorang wanita OKU intelektual berusia 30 tahun dan wanita warga emas berumur 61 tahun, serta seorang lelaki berusia 24 tahun.

“Jentera tiba di lokasi pada 9.26 pagi, kira-kira 21 kilometer dari balai, dan operasi berjaya dikawal empat minit kemudian. Kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan Perodua Kembara yang membawa tiga penumpang serta sebuah Honda City VTEC dinaiki dua individu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata operasi menyelamat melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender dan punca kemalangan masih dalam siasatan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata siasatan awal mendapati dua kenderaan berkenaan dipercayai bertembung di garisan berkembar pembahagi jalan di kawasan selekoh.

"Perodua Kembara itu dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Gua Musang manakala Honda City pula datang dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk bedah siasat.

Dua penumpang yang berada di dalam Perodua Kembara serta pemandu kereta Honda City hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Beliau berkata punca nahas masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552956