SEOUL, 5 Mei (Bernama-Yonhap) -- Kebakaran yang berlaku selepas satu letupan di atas sebuah kapal pengangkut pukal yang berdaftar di Panama dan dikendalikan oleh HMM Co. dari Korea Selatan di Selat Hormuz telah berjaya dipadamkan dan tiada kecederaan dilaporkan, menurut syarikat itu pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.
Letupan itu berlaku kira-kira 8.40 malam Isnin (waktu Korea) ketika HMM Namu sedang berlabuh di perairan berhampiran Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut HMM. Kebakaran bermula di bilik enjin dan anak kapal menggunakan karbon dioksida untuk memadamkan api selama kira-kira empat jam.
HMM berkata rakaman kamera keselamatan menunjukkan kebakaran telah dipadamkan dan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan lanjut di bilik enjin bagi menilai tahap kerosakan.
Kapal itu membawa 24 anak kapal -- enam warga Korea Selatan dan 18 warga asing. Tiada individu yang cedera, menurut syarikat itu.
Punca letupan dan kebakaran serta tahap kerosakan kini sedang disiasat.
“Masih tidak jelas sama ada insiden itu berpunca daripada serangan luar atau kerosakan dalaman,” kata seorang pegawai HMM.
HMM berkata pihaknya merancang untuk menunda kapal itu ke Dubai, satu proses yang dijangka mengambil masa beberapa hari.
Di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata Iran telah melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal kargo Korea Selatan dan sasaran lain, sambil menggesa Seoul menyertai misi untuk membuka semula Selat Hormuz yang penting itu.
Pegawai industri berkata kapal yang dikendalikan Korea Selatan di perairan berhampiran UAE sedang menuju ke Qatar selaras dengan langkah kerajaan untuk mengelakkan Selat Hormuz demi keselamatan.
Insiden itu berlaku selepas AS melancarkan operasi dikenali sebagai Project Freedom minggu ini bagi membantu kapal komersial yang terkandas akibat perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran keluar dari laluan perairan itu.
HMM mengendalikan lima kapal di Selat Hormuz, termasuk sebuah kapal kontena dan dua kapal tangki minyak.
-- BERNAMA-YONHAP