AM

Usia Perahu Lama Di Tanah Merah Dalam Penilaian JWN

05/05/2026 11:18 AM

TANAH MERAH, 5 Mei (Bernama) -- Usia sebenar sebuah perahu lama yang ditemui di Kampung Bukit Kechik, di sini, kini dalam penilaian Jabatan Warisan Negara (JWN) bagi menentukan sama ada ia mempunyai nilai sejarah yang signifikan.

Kurator Kanan Bahagian Arkeologi JWN, Rokiah Abdul Samat berkata pihaknya telah melakukan tinjauan awal susulan aduan diterima bagi mengesahkan laporan serta tujuan dokumentasi.

Beliau berkata walaupun penemuan perahu berkenaan mungkin dilihat tidak signifikan oleh sesetengah pihak, tindakan penduduk kampung melaporkannya merupakan langkah penting dan wajar dicontohi.

“Penentuan usia perahu berkenaan memerlukan kajian dan analisis lanjut sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, penduduk kampung turut menunjukkan minat untuk memulihara dan memelihara perahu tersebut, termasuk mencadangkan agar ia disimpan di lokasi sesuai untuk dipamerkan kepada generasi muda.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bukit Kechik, Md Noor Hassan berkata penemuan itu bermula apabila beberapa penduduk menyedari kelibat objek menyerupai rangka perahu yang sebahagiannya tertanam di dasar tebing sungai.

Beliau berkata keadaan air yang semakin surut sejak kebelakangan ini menyebabkan struktur perahu tersebut mula kelihatan dengan lebih jelas.

“Pada awalnya penduduk hanya melihat sedikit bahagian rangka di tebing sungai. Namun selepas paras air menurun, keseluruhan struktur semakin terserlah.

“Penduduk kemudian mengambil inisiatif mengorek kawasan tersebut untuk melihat dengan lebih dekat bentuk sebenar perahu berkenaan,” katanya di lokasi kejadian.

Mohd Nor berkata setakat ini usia sebenar perahu itu masih belum dapat dipastikan dan memerlukan kajian menyeluruh daripada semua pihak khususnya JWN serta pakar sejarah.

“Ada penduduk yang percaya usia perahu ini ratusan tahun dan anggaran itu dibuat berdasarkan sejarah kawasan ini yang dahulunya menjadi pangkalan perahu bagi penduduk dari Danau Tok Uban, Pasir Mas dan Batang Merbau, Tanah Merah kira-kira 15 kilometer dari sini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan penemuan berkenaan memberi nilai sejarah yang signifikan kepada kampung itu dan berpotensi menjadi bahan kajian.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan termasuk pengkaji sejarah atau arkeologi dapat turun padang bagi menjalankan kajian lanjut.

“Kami berharap ada pihak pakar dapat datang meneliti rangka perahu ini bagi mengesahkan usia sebenar serta kepentingannya dari sudut sejarah,” katanya.

Pada 2 Mei lepas, JWN telah melaksanakan tinjauan awal susulan penemuan sebuah struktur perahu lama di Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah, bagi mengenal pasti kepentingan dan signifikasi sejarah jumpaan berkenaan.

Dalam kenyataan, jabatan itu memaklumkan berdasarkan ciri-ciri fizikal perahu berkenaan dipercayai dibina menggunakan kayu keras tempatan seperti cengal atau meranti.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552874