Keinginan menikmati keenakan buah durian segar selain hasrat melihat sendiri keindahan pantai Malaysia, mendorong Yang Zhi Jun dari Chengdu, China mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.
Malah, wanita muda berusia 21 tahun ini yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Chengdu, memasang angan-angan untuk menjejakkan kaki di Malaysia sejak tiga tahun lalu.
Pada April, impian siswi tahun tiga ini tercapai apabila dia tiba di negara ini sebagai antara 59 peserta Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka serta 13 institusi pengajian tinggi di China.
Kem yang berlangsung dari 27 hingga 30 April itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China dalam bidang pendidikan, khususnya pemerkasaan bahasa Melayu, pertukaran budaya serta pembangunan kepimpinan dalam kalangan belia kedua-dua negara.
Yang, atau nama Melayunya Zarina, tidak dapat menyembunyikan keterujaan ketika berkongsi pengalamannya berada di sini dengan Bernama.
“Kunjungan kami singkat, cuma tiga hari tapi saya berpeluang menikmati rasa buah durian ‘sebenar’ di Jalan Alor (Bukit Bintang). Selalunya, kami di China banyak merasai buah durian beku yang diimport dari Malaysia, namun jika mahu buah durian yang segar daripada buahnya yang berduri, kena datang makan di Malaysia,” katanya.
PROSPEK BAHASA MELAYU DALAM KERJAYA
Seorang lagi peserta yang juga mahasiswi tahun tiga jurusan Bahasa Melayu, Ratna Chen, 20, daripada Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Sichuan (SISU), memilih untuk menguasai bahasa itu kerana tertarik dengan kepelbagaian peluang pekerjaan di Malaysia, yang sering diuar-uarkan oleh rakan-rakan serta ahli keluarganya di kampung halaman.
“Ramai senior berjaya mendapat pekerjaan yang baik di Malaysia serta menjana pendapatan lumayan. Jadi, bagi masa depan yang lebih cerah, saya memilih untuk mengambil jurusan Bahasa Melayu di universiti.
“Walaupun pada mulanya sangat mencabar, lebih-lebih lagi dari segi sebutan dan tatabahasa, dengan bantuan tenaga pengajar kami yang terdiri daripada guru berbangsa Melayu yang fasih berbahasa Mandarin, kami dapat menguasai bahasa Melayu selain turut berkongsi ilmu mengenai budaya dan adat tradisional masyarakat Melayu,” katanya.
TERTARIK DENGAN BUDAYA, INISIATIF JALUR DAN LALUAN
Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, Beijing Foreign Studies University (BFSU) Prof Dr Su Ying Ying berkata hubungan Malaysia-China yang kian erat sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mendorong minat rakyat kedua-dua negara untuk saling mempelajari bahasa dan memahami budaya masing-masing.
Beliau yang juga ketua delegasi China ke kem interaksi itu berkata daripada pandangan masyarakat mereka, Malaysia ialah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, selamat serta mesra terhadap rakyat China, sekali gus menjadikannya antara destinasi pelancongan penting bagi rakyat negara itu.
“Keunikan budaya Malaysia juga menjadi daya tarikan utama. Oleh sebab itu kebanyakan ibu bapa di China sebenarnya sangat menyokong anak-anak mereka mengambil jurusan Bahasa Melayu.
“Selain itu, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dilaksanakan secara meluas turut menjadi faktor penting dalam meningkatkan minat terhadap bahasa Melayu kerana terdapat banyak projek berkaitan BRI dilaksanakan antara Malaysia dan China, selain banyak syarikat besar China membuka kilang di Malaysia.
“Keadaan ini menyediakan peluang pekerjaan buat pelajar dan menjadi pertimbangan yang sangat realistik untuk terus mengembangkan kerjaya mereka di Malaysia, sekali gus meluaskan pemandangan mereka terhadap dunia luar,” katanya.
Statistik Kementerian Dalam Negeri merekodkan terdapat 30,679 warga China berdaftar sebagai ekspatriat profesional di Malaysia setakat 15 Ogos 2025.
Daripada jumlah itu, sektor pembinaan mencatat jumlah tertinggi, iaitu 10,825 orang, diikuti perkilangan (6,407); perkhidmatan (5,385); teknologi maklumat dan komunikasi (4,477) serta lain-lain sektor (3,585).
Di bawah program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) pula, seramai 26,162 rakyat China dari tanah besar republik itu menetap di Malaysia selepas menerima visa jangka panjang untuk tujuan persaraan, pendidikan dan pelaburan, setakat Disember 2024.
Menurut Su yang mesra dipanggil Suria itu, jika sesebuah negara mempunyai hubungan baik dengan China serta menarik dalam pelbagai aspek termasuk peluang pekerjaan, rakyatnya pasti terdorong untuk mempelajari bahasa asal negara berkenaan.
Melihat situasi itu sebagai “menang-menang”, beliau berkata pengaruh China yang kian meluas di peringkat global turut mendorong pembelajaran bahasa Mandarin di Malaysia.
Pada masa ini tiga universiti di Malaysia menawarkan pengajian berkaitan bahasa dan budaya China, iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman, Kolej Universiti New Era dan Universiti Malaya menerusi Institut Kong Zi (juga dikenali sebagai Confusius Institute) yang terhasil daripada kerjasama dengan BFSU.
“Saya melihat rakyat kedua-dua negara sangat berminat untuk belajar dan memahami antara satu sama lain. Hanya dengan kesediaan untuk saling memahami, barulah persahabatan dapat dibina dan bahasalah yang menjadi jambatannya,” kata beliau.
BFSU adalah universiti pertama China yang menawarkan jurusan Pengajian Bahasa Melayu di peringkat ijazah sarjana muda iaitu pada 1961, dan pada masa ini terdapat 12 lagi universiti menawarkan jurusan sama di China.
BAHASA JAMBATAN PERBEZAAN BUDAYA, PANDANGAN DUNIA
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata bahasa bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga wahana pemikiran, pembawa nilai serta cerminan tamadun sesebuah bangsa dalam wacana ilmu dan peradaban.
Katanya dalam konteks hubungan antarabangsa pula, bahasa berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan perbezaan budaya, sejarah dan pandangan dunia.
“Apabila warga China mempelajari bahasa Melayu, mereka bukan sekadar mempelajari satu bahasa, menyelami satu budaya, tetapi sedang menambah satu kelebihan kepada diri sendiri, iaitu mendekati jiwa bangsa Malaysia, menjalin persefahaman budaya, meluaskan peluang dalam bidang pendidikan, membuka ruang kerjaya antarabangsa dan mengembangkan kerjasama serantau.
“Peribahasa Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’, yang bermaksud seseorang itu tidak akan menyukai, menghargai atau mempunyai perasaan kasih terhadap sesuatu perkara, individu atau budaya jika belum mengenalinya dengan lebih dekat.
“Apabila kita mula mengenali, melalui interaksi, pengalaman atau pembelajaran, maka barulah timbul kefahaman, dan daripada kefahaman itu lahir rasa hormat, penghargaan, dan akhirnya kasih atau minat,” jelasnya.
Beliau berkata program-program seperti Kem Interaksi Bahasa dan Budaya dapat membina hubungan baik antara Malaysia dan China menerusi kerjasama dan pertukaran ilmu yang dipimpin oleh generasi muda yang saling memahami dan menghormati menerusi pembelajaran bahasa Melayu.
Bagi Pengerusi Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) Lim Chuan Boon pula, dari segi hubungan Malaysia-China, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat negara itu bukan hanya berperanan sebagai jambatan diplomatik tetapi juga dapat mengukuhkan lagi pemahaman silang budaya menerusi karya-karya terjemahan sastera kedua-dua negara.
Menurut beliau, menerusi lawatan sambil belajar dan program pertukaran budaya antara Malaysia-China, pihaknya berpeluang memperkasa kerjasama dengan mempromosikan karya-karya terjemahan tempatan, sekali gus mendedahkan warga China kepada persefahaman dan perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini.
“Kami turut mengedarkan buku-buku hasil terjemahan ahli-ahli kami - daripada bahasa Cina ke bahasa Melayu serta sebaliknya - kepada mereka sebagai cenderahati untuk membantu mereka menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik serta memahami budaya kepelbagaian etnik di negara ini.
“Sambutan sangat memberangsangkan kerana mereka sangat kagum akan kebolehan masyarakat pelbagai kaum di negara ini menguasai pelbagai bahasa, lebih-lebih lagi berupaya menerjemahkan karya-karya kesusasteraan dari China ke bahasa Melayu untuk bacaan warga tempatan,” katanya.
GALAKKAN LEBIH RAMAI PELANCONG CHINA KE MALAYSIA
Selain silang budaya, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warga China juga dapat membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 di negara mereka sekali gus menggalakkan kunjungan mereka ke Malaysia.
Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia Kapten Mahadzir Mansor berkata ramai warga China yang fasih berbahasa Melayu membantu mempromosikan produk pelancongan Malaysia - daripada makanan tradisional ke destinasi menarik - di negara sendiri.
Bagi menggalakkan kedatangan pelancong China, beliau berkata persatuan itu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan “kad budaya digital” bermula pertengahan tahun ini, yang membolehkan rakyat China mengumpul mata dan seterusnya ditebus sebagai diskaun dalam pakej pelancongan mereka.
“Kami menyasarkan kira-kira 500,000 pelancong dari China ke negara ini melalui inisiatif tersebut.
"Jika sasaran ini dapat dicapai, ia akan memberi impak besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara," katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Projek Kad Budaya Digital Visit Malaysia 2026 di sini.