AM

Jangan Hasilkan, Sebar Kandungan 3R Bersifat Provokatif - MCMC

03/05/2026 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Semua pihak diingatkan supaya tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkait isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau boleh mencetuskan ketegangan awam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan platform dalam talian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. 

“Orang ramai dinasihatkan agar menyemak kesahihan maklumat sebelum  berkongsi bagi mengelakkan salah faham atau permusuhan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MCMC juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk memantau, menyiasat serta mengambil tindakan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang. 

Individu yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda hingga RM500,000, penjara dua tahun, atau kedua-duanya. 

MCMC menyatakan pihaknya turut mengambil tindakan terhadap penyedia platform yang tidak memberi kerjasama, selain mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang serta mencegah penyalahgunaan perkhidmatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552260