KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berangkat ke Tashkent, Uzbekistan bagi menghadiri persidangan antarabangsa bertajuk "Tradisi Saintifik dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran".
Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, persidangan itu akan berlangsung pada 5 Mei di Pusat Ketamadunan Islam (CIC) di Tashkent.
“Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal memberi titah ucapan diraja kepada lebih 200 peserta terdiri daripada cendekiawan, pemikir dan negarawan pelbagai latar belakang,” menurut hantaran itu.
Mengiringi Raja Permaisuri Agong ke acara itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Raja Zarith Sofiah berangkat ke Uzbekistan dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada pagi tadi.
Yang turut mengiringi Raja Permaisuri Agong ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani dan isteri Puan Sri Dr Noor Azizah Abdul Latif serta Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad.
-- BERNAMA