DUNIA

Kapal Tangki Minyak Dirampas Di Luar Pantai Yaman, Dibawa Ke Arah Somalia

03/05/2026 12:11 AM

YAMAN, 2 Mei (Bernama-Anadolu) -- Sebuah kapal tangki minyak dirampas pada Sabtu di luar pantai Yaman dalam serangan bersenjata oleh penyerang tidak dikenali, dengan pihak berkuasa sedang berusaha mengesan dan mendapatkan semula kapal itu, menurut Pengawal Pantai Yaman, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, pengawal pantai memaklumkan pihaknya “sedang menyusuli laporan yang diterima pagi ini mengenai rampasan kapal tangki minyak M/T EUREKA di luar pantai wilayah Shabwa,” tanpa menyatakan pemilikan kapal berkenaan.

Kenyataan itu menambah bahawa kapal tangki berkenaan “menjadi sasaran rompakan bersenjata oleh unsur tidak dikenali, yang menaiki dan mengambil alih kawalan sebelum bergerak menuju ke Teluk Aden ke arah perairan Somalia.”

Ia turut menyatakan bahawa “sejurus menerima laporan itu, Pengawal Pantai Yaman melancarkan langkah operasi dengan menghantar dua bot peronda dari Aden, selain bot peronda yang lebih kecil dari Shabwa, sebagai sebahagian daripada operasi mencari dan mengesan untuk menentukan lokasi kapal berkenaan walaupun berdepan kekangan sumber dan keadaan luar biasa negara.”

Pengawal pantai berkata pihaknya sedang menyelaras dengan rakan kongsi antarabangsa serta pihak berkuasa berkaitan di Teluk Aden, sambil menambah bahawa “langkah itu membawa kepada pengenalpastian lokasi kapal tangki berkenaan, dan usaha sedang dijalankan untuk memantaunya serta mengambil langkah perlu bagi mendapatkannya semula dan memastikan keselamatan anak kapal.”

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap rampasan itu.

Terdahulu pada Sabtu, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom melaporkan satu lagi insiden maritim berasingan di luar pantai Mukalla di wilayah Hadramout di timur Yaman, insiden kedua seumpamanya dalam tempoh kurang 24 jam.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa nakhoda sebuah kapal kargo melaporkan sebuah bot kecil berwarna hijau menghampiri dalam jarak 500 meter, diiringi sebuah kapal nelayan berwarna putih, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai pemilikan atau keadaan kejadian.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552154