POLITIK

UMNO Perlu Adaptasi Strategi Baharu Hadapi Pilihan Raya - Mohamad

02/05/2026 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- UMNO perlu mengadaptasi strategi baharu bagi menghadapi landskap politik yang semakin dinamik, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata perubahan tingkah laku pengundi, isu semasa dan persekitaran politik menuntut pendekatan yang lebih fleksibel dan berpaksikan realiti semasa.

“Pilihan Raya hari ini tidak lagi statik, landskap berubah, pengundi berubah, isu berubah. Jadi strategi kita juga mesti berubah.

“Strategi Pilihan Raya UMNO bukan ditentukan hari ini. Strategi kita ditentukan berdasarkan realiti semasa, apabila tiba masanya,” katanya dalam ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Puteri Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Mohamad berkata dalam politik moden, fleksibiliti merupakan senjata penting untuk mengembalikan kekuatan UMNO sebagai parti dominan, termasuk dengan menilai sentimen rakyat, kekuatan lawan serta menyesuaikan pendekatan bagi menghadapi pilihan raya.

“Pilihan Raya hari ini bukan sekadar ceramah. Ia suatu analisis. Pilihan Raya hari ini bukan sekadar perang poster. Ia ialah perang data. Calon mesti berintegriti, boleh menang, dekat dengan rakyat,” katanya.

Mohamad turut menegaskan UMNO perlu merangka hala tuju baharu yang lebih berani dan berpaksikan masa depan, bagi memastikan kelangsungan parti dalam landskap politik yang semakin mencabar.

Beliau berkata UMNO tidak boleh terus bergantung kepada nostalgia sejarah, sebaliknya perlu menawarkan keyakinan masa depan melalui gagasan yang jelas dan relevan kepada rakyat.

Mohamad berkata fokus utama parti ketika ini adalah untuk memulih, merawat dan membangunkan semula kekuatan UMNO, berasaskan pengalaman mengurus krisis serta kesetiaan ahli.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh kesatuan parti sebagai asas utama kekuatan, serta mengingatkan bahawa perpecahan hanya akan melemahkan peranan UMNO dalam percaturan politik negara.

“Parti yang berpecah belah akan mudah diperlaku dan dipergunakan oleh kepentingan politik luaran. Ia akan menjerumuskan parti kepada percaturan yang akhirnya, sedikit demi sedikit, meminggirkan dan mengecilkan peranan UMNO.

“Justeru, dalam saat sepenting sekarang, jangan ada anasir yang ingin mengadu domba dan melaga-lagakan kita antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas cabaran semasa, Mohamad berkata UMNO perlu menangani perubahan global dan digital termasuk melahirkan generasi profesional serta memastikan parti kekal relevan dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, beliau berkata UMNO juga perlu mengurus realiti masyarakat majmuk dengan baik dan menyediakan kepimpinan masa depan yang berwibawa dan berkaliber, selain menangani cabaran secara strategik dan terbuka bagi mengelakkan parti terus terpinggir dalam jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551949