JENAYAH & MAHKAMAH

Truper Alami Kecederaan Parah, Keluarga Mahu Siasatan Telus, Menyeluruh

30/04/2026 06:49 PM

PETALING JAYA, 30 April (Bernama) -- Keluarga Truper Abdul Hamid Talib, 25, meminta kerajaan supaya memberi penjelasan dan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kecederaan parah yang dialami anggota Grup Gerak Khas daripada Rejimen 22 Komando itu semasa berada di dalam kem.

Penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N.Surendran, yang juga jurucakap keluarga mangsa, berkata setakat ini keluarga Abdul Hamid belum menerima penjelasan munasabah bagaimana beliau boleh mengalami kecederaan parah sehingga dalam keadaan vegetatif.

Beliau berkata mangsa, yang sebelum ini sihat, dilaporkan mengalami kecederaan parah pada 11 Mac lepas ketika di kem tentera di Mersing, Johor.

“Mangsa kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas dipindahkan dari beberapa hospital lain,” katanya semasa sidang media berhubung kes itu yang berlangsung  di pejabat LFL di sini hari ini. 

Yang turut hadir ialah wakil peguam keluarga Abdul Hamid, iaitu Suzana Norlihan Alias, ibu mangsa Josmah Duim, 54, abangnya Saifudin Talib, 30, serta kakak truper berkenaan, Noreliana, 29. 

Surendran berkata satu laporan polis telah dibuat oleh Saifudin pada 14 Mac lepas namun sehingga kini, tiada perkembangan ketara berkaitan kes itu.

Justeru, beliau berkata keluarga mangsa meminta Kementerian Pertahanan dan kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia memberikan penjelasan menyeluruh kepada mereka tentang kejadian sebenar serta meminta pihak polis menjalankan siasatan segera.

“Keluarga turut menuntut semua pegawai dan anggota yang terlibat digantung tugas sementara siasatan dijalankan bagi memastikan ketelusan,” katanya.

Josmah pula menuntut keadilan terhadap perkara yang berlaku kepada anaknya dan menyifatkan ia sebagai kejadian yang tidak dapat diterima.

“Saya hantar anak dalam keadaan sihat... tiba-tiba jadi begini... saya memang tidak boleh terima,” katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan ahli keluarga Abdul Hamid telah hadir membuat laporan kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan selesai pada kira-kira 3 petang tadi.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551453