AM

Isu Penyelewengan Dana: Kerajaan Akan Pergiat Program Tatakelola, Tadbir Urus NGO Islam

30/04/2026 04:15 PM

KLUANG, 30 April (Bernama) -- Kerajaan akan memperluas dan memperkukuh program bimbingan tadbir urus serta latihan tatakelola kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi memastikan pengurusan kewangan badan tersebut yang lebih profesional dan telus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata inisiatif yang telah dimulakan sejak tahun lalu itu akan dipergiat bagi memastikan setiap NGO mempunyai pengetahuan mendalam mengenai pengurusan akaun dan tadbir urus yang betul.

Beliau berkata walaupun perkara tersebut di luar bidang kuasa pihaknya, namun mereka akan tetap mengambil tanggungjawab untuk memperkasakan organisasi terlibat.

“Kita mengambil tanggungjawab. Sebenarnya kita sudah mulakan dari tahun lepas lagi iaitu kita menawarkan bimbingan, latihan, kursus kepada NGO Islam ini untuk mereka memperkukuhkan tadbir urus, tatakelola dan governance, termasuk dari segi tatacara kewangan.

“Malahan, kita akan libat urus dan kita akan perkukuhkan lagi (pelaksanaannya). Kita akan meluaskan lagi supaya NGO kita profesional dan mempunyai pengetahuan dalam menguruskan tadbir urus, tatakelola dengan lebih baik,” kata Zulkifli.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Kefahaman Malaysia MADANI di Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), di sini, hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana sumbangan awam berjumlah RM230 juta.

Susulan itu, pada 24 April lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa peraturan  yang lebih ketat dilaksanakan bagi mengawal dan memantau perbelanjaan mana-mana badan amal dan NGO untuk mengelakkan salah laku dan penyelewengan.

Sementara itu mengenai kes penipuan tawaran permit haji dan perniagaan hotel di Makkah membabitkan kerugian RM415,000 yang dilaporkan semalam, Zulkifli berkata kerajaan telah melancarkan kempen khas bagi membendung isu berkaitan.

Beliau berkata Lembaga Tabung Haji (TH) telah melancarkan kempen 'Tiada Visa, Tiada Haji' bagi memastikan kemaslahatan, keselamatan dan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara, selain membanteras penipuan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Kita sudah pun mengeluarkan kempen promosi dan juga hebahan terhadap perkara ini. Sekarang ini kita sudah pun melengkapkan 100 peratus visa haji kita, jadi elakkan (diri) daripada penipuan (pihak tidak bertanggungjawab),” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, Zulkifli berkata ia bertujuan memperkukuh pemahaman penjawat awam terhadap konsep dan pelaksanaan Malaysia MADANI melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi aspek kenegaraan, nilai Islam serta pengukuhan perpaduan nasional.

Katanya, program hasil kolaborasi strategik INTAN, Akademi Kenegaraan Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia itu berjaya menghimpunkan seramai 700 orang penjawat awam merangkumi negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551346