AM

Pemangku Sultan Johor Puji Komitmen Kerajaan Negeri Bela Nasib Rakyat

30/04/2026 01:58 PM

ISKANDAR PUTERI, 30 April (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menzahirkan penghargaan terhadap Kerajaan Negeri Johor atas pelaksanaan pelbagai inisiatif yang berjaya memacu ekonomi serta menjaga aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan serta perumahan di negeri itu. 

Baginda turut menzahirkan perasaan bangga atas pencapaian negeri Johor yang terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam tempoh itu, di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi sepanjang empat tahun lepas. 

Tunku Mahkota Ismail bertitah usaha itu dapat dilihat antaranya menerusi pemberian Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang telah memanfaatkan lebih 550,000 Bangsa Johor, tanpa mengira agama, keturunan mahu pun latar belakang dan mahu pelaksanaan bantuan itu terus diperkukuh dan diperluaskan.

“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar serta tekanan kos sara hidup yang dirasai rakyat hari ini, saya memahami bahawa masih ramai yang memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” titah baginda. 

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Baginda bertitah pencapaian kerajaan negeri yang berjaya mensifarkan 4,612 Ketua Isi Rumah miskin tegar sehingga 29 April tahun lepas merupakan satu perkara yang membanggakan dan membuktikan kesungguhan serta keberkesanan usaha yang dilaksanakan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri atas komitmen dalam membela nasib rakyat, khususnya golongan yang memerlukan, namun usaha ini tidak boleh terhenti di sini. saya menggesa agar inisiatif ini diteruskan dan diperkasa,” titah baginda.

Baginda bertitah  dalam aspek perumahan, kemudahan tempat tinggal untuk Bangsa Johor sentiasa menjadi keutamaan dan kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang selesa.

Pemangku Sultan Johor bertitah sejak 2022 hingga kini, sebanyak 21,085 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah disiapkan, dengan lebih 16,000 unit didiami dan lebih 26,000 rakyat dibantu memiliki rumah pertama.

“Selain itu, penyediaan subsidi bina baharu kepada 1,500 penerima, pemberian rumah percuma kepada lebih 1,000 ketua isi rumah, serta kerja membaik pulih lebih 4,000 rumah daif dan 12 Program Perumahan Rakyat (PPR),” titah baginda. 

Daripada aspek pendidikan, Tunku Mahkota Ismail bertitah baginda bangga melihat sendiri perkembangan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang menunjukkan kemajuan memberangsangkan.

Baginda bertitah langkah itu seiring dengan usaha kerajaan negeri memperluas sokongan kepada mahasiswa dan pelajar melalui pelbagai bantuan, termasuk Insentif Mahasiswa Anak Johor, peranti pembelajaran, bantuan yuran dan persekolahan serta kemudahan pengangkutan dan tiket penerbangan.

“Kekuatan sebuah negeri terletak pada kualiti modal insan yang kita bina. Saya ingin melihat pendidikan anak Johor terus berada pada landasan yang betul melalui pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan secara tersusun dan berterusan,” titah baginda. 

Selain itu Baginda turut menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang tersenarai sebagai antara hospital terbaik dunia 2026.

“Saya yakin pencapaian ini adalah hasil usaha bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan, kemudahan serta kecekapan sistem kesihatan johor yang kini berada pada landasan yang tepat,” titah baginda. 

Dalam aspek ekonomi, baginda bertitah Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion, termasuk mencipta sejarah pada 2025 apabila merekodkan RM110 bilion pelaburan yang telah membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551245