PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan langkah penjimatan sebanyak RM64.4 juta sebagai sokongan kepada usaha Kementerian Kewangan (MOF) menyusun semula keutamaan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM10 bilion.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata KPKT komited memberikan kerjasama penuh dalam usaha rasionalisasi perbelanjaan tersebut bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara sekali gus memastikan kedudukan fiskal negara kekal kukuh.
"Dalam Belanjawan 2026, KPKT diperuntukkan sebanyak RM2.07 bilion bagi perbelanjaan mengurus (OE). Namun begitu, KPKT bersedia untuk mencari ikhtiar melaksanakan penjimatan sebanyak RM64.4 juta seperti yang dicadangkan oleh MOF," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah subsidi yang disalurkan kepada rakyat dijangka melebihi RM58 bilion tahun ini berbanding RM15 bilion mengikut anggaran belanjawan asal sebelum tercetusnya krisis bekalan global.
Justeru, beliau berkata langkah menyusun semula perbelanjaan amat diperlukan demi kelangsungan ekonomi negara.
"Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. Sehubungan itu, langkah ini penting supaya kerajaan mempunyai ruang kewangan yang mencukupi untuk terus membantu rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan peningkatan kos sara hidup," katanya.
Nga berkata konflik berterusan di rantau Asia Barat menjejaskan rantaian bekalan minyak global dan menyebabkan kenaikan mendadak harga minyak mentah antarabangsa, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata KPKT akan terus mengamalkan perbelanjaan secara berjimat cermat dan berhemah supaya setiap sen wang rakyat dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa langkah tersebut tidak akan menjejaskan projek di bawah perbelanjaan pembangunan (DE), sekali gus memastikan agenda pembangunan tetap berjalan lancar demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
"Langkah-langkah demi mencapai penjimatan tersebut termasuk acara rasmi, mesyuarat, persidangan, seminar dan bengkel yang dianggap tidak wajib diminta ditangguhkan, manakala program dianggap perlu akan dikecilkan skalanya," kata beliau.
Selain itu, Nga berkata lawatan atau kunjungan ke luar negara oleh menteri dan seluruh anggota pentadbiran dihadkan hanya kepada mesyuarat berjadual yang wajib dihadiri sahaja.
-- BERNAMA