KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Permintaan global bagi kargo udara antarabangsa yang diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer (CTK) susut sebanyak 4.8 peratus pada Mac tahun ini berbanding tahap pada Mac 2025 (-5.5 peratus untuk operasi antarabangsa), menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Kapasiti yang diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer tersedia (ACTK) pula berkurang sebanyak 4.7 peratus daripada Mac 2025 (-6.8 peratus bagi operasi antarabangsa).
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata penurunan permintaan kargo udara sebahagian besarnya berpunca daripada kesan yang teruk di hab utama Teluk akibat peperangan di Asia Barat.
Beliau berkata faktor kelembapan permintaan selepas Tahun Baharu Cina turut menyumbang kepada penurunan tersebut.
Walsh juga memberitahu bahawa aliran permintaan asas pada ketika ini kelihatan kukuh dan semakan terbaharu oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa terhadap unjuran perdagangan dan keluaran dalam negara kasar terus menunjukkan pertumbuhan pada 2026.
“Apa yang penting, rangkaian kargo udara menyediakan fleksibiliti yang diperlukan untuk menyokong rantaian bekalan global ketika ia menyesuaikan diri dengan tekanan geopolitik, tarif dan operasi.
“Semua tumpuan kini terarah kepada bekalan dan harga bahan api yang dijangka menguji daya tahan industri pada bulan-bulan mendatang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan penerbitan data IATA bagi pasaran kargo udara global Mac 2026.
Mengenai prestasi serantau, Walsh berkata syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun dalam permintaan kargo udara pada Mac manakala kapasiti meningkat sebanyak lima peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, mengenai pertumbuhan laluan perdagangan, beliau berkata prestasi kargo udara menunjukkan perbezaan merentasi laluan perdagangan utama pada Mac.
Laluan Afrika-Asia menerajui pertumbuhan diikuti oleh Asia-Eropah manakala laluan intra-Asia juga kekal kukuh dipacu oleh aliran perdagangan serantau.
Sebaliknya, koridor yang mempunyai kaitan dengan Teluk terjejas teruk kesan daripada konflik yang sedang berterusan di Asia Barat, tambah beliau.
IATA mewakili lebih daripada 360 syarikat penerbangan yang merangkumi kira-kira 85 peratus daripada trafik udara global.
Secara berasingan, IATA menyatakan bahawa dari segi permintaan penumpang global bagi Mac 2026, jumlah permintaan yang diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) meningkat sebanyak 2.1 peratus berbanding Mac 2025.
Jumlah kapasiti yang diukur dalam tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK), merosot 1.7 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan adalah sebanyak 83.6 peratus (naik 3.1 mata peratusan (ppt) berbanding Mac 2025).
Permintaan antarabangsa turun 0.6 peratus daripada Mac 2025 manakala kapasiti menurun 6.2 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan adalah sebanyak 84.1 peratus (peningkatan 4.7 mata peratusan berbanding Mac 2025).
Penurunan keseluruhan dalam trafik antarabangsa diterajui oleh kejatuhan trafik sebanyak 60.8 peratus oleh syarikat penerbangan di Asia Barat, menurut IATA.
Ia seterusnya menyatakan bahawa permintaan domestik meningkat 6.5 peratus berbanding Mac 2025.
Kapasiti meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan adalah sebanyak 83.0 peratus (peningkatan 0.7 mata peratusan daripada Mac 2025).
“Permintaan untuk perjalanan udara terus meningkat pada Mac meskipun terdapat gangguan di Asia Barat.
“Bagaimanapun, penurunan hampir 61 peratus dalam trafik antarabangsa oleh syarikat penerbangan di Asia Barat telah menyekat pertumbuhan global kepada 2.1 peratus. Di luar Asia Barat, permintaan meningkat sebanyak lapan peratus,” kata Walsh.
Dari segi penawaran, beliau berkata dalam tempoh beberapa bulan akan datang mungkin berlaku kekurangan di beberapa bahagian dunia yang mempunyai pergantungan tinggi terhadap bekalan dari Teluk, terutamanya Asia dan Eropah.
Dalam pada itu, kos bahan api jet yang sangat tinggi semakin mencerminkan peningkatan dalam harga tiket.
Walsh juga berkata adalah penting bagi pihak kawal selia untuk bersedia memberikan sedikit fleksibiliti kepada syarikat penerbangan berkaitan slot penerbangan memandangkan keadaan luar biasa sekatan kapasiti ruang udara dan potensi catuan bahan api.
Sementara itu, syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan peningkatan permintaan sebanyak 11.5 peratus tahun ke tahun.
Kapasiti meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan adalah sebanyak 91.2 peratus (peningkatan 8.1 mata peratusan berbanding Mac 2025).
Trafik di rantau ini dirangsang oleh fasa akhir tempoh perjalanan Tahun Baharu Cina selain laluan antarabangsa (kecuali laluan ke Asia Barat) yang menikmati pertumbuhan dua angka.
-- BERNAMA