JENAYAH & MAHKAMAH

Kelindan Lori Sebabkan Kematian Anak Angkat Dipenjara 18 Tahun, Dua Sebatan

29/04/2026 04:13 PM

KUALA TERENGGANU, 29 April (Bernama) -- Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan dan menyebabkan kematian anak angkatnya pada 11 April lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Muhammad Firdaus Zamri, 31, kerana menyebabkan kematian Muhammad Adamdanial Abdul Khafidh, 4, pada 6 petang, 11 April lepas di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Banggol Katong di sini.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Muhammad Firdaus dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan atas kesalahan mendatangkan cedera ke atas kanak-kanak tersebut menggunakan sebatang rotan pada waktu, hari dan lokasi yang sama.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh  ditangkap pada 13 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. 

Muhammad Firdaus yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Hafizuddin Abdul Haris memohon dikenakan hukuman penjara minimum memandangkan dia telah insaf dan menyesal atas kesalahan dilakukan.

Tertuduh juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang selain perlu menyara kedua ibu bapanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad dengan nada sebak dalam hujahannya berkata hukuman berat wajar dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran atas alasan keadilan perlu ditegakkan buat mangsa yang masih kecil dan tidak berdaya,.

Beliau berkata mangsa sepatutnya dilindungi oleh penjaga dan bukannya menjadi mangsa kepada pelakuan tidak berperikemanusiaan.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin berkata kepentingan awam merupakan faktor yang perlu diutamakan oleh mahkamah semasa menjatuhkan hukuman.

"Saya ambil kira mangsa masih kecil, diamanahkan kepada kamu untuk dijaga, tetapi didera secara perlahan-lahan sedikit demi sedikit sehingga meninggal dunia. Semua ini mencerminkan kesalahan kamu semata-mata dan kamu seorang sahaja terlibat dalam kes ini.

“Kamu telah khianat amanah untuk jaga anak kecil yang tidak berdosa ini. Kepentingan awam perlu mendahului kepentingan kamu sendiri," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550864