EKONOMI

Kerajaan Perkukuh Daya Tahan Ekonomi, Jamin Bekalan Tenaga Dan Kos Tidak Meningkat - Akmal Nasrullah

28/04/2026 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kerajaan bukan sekadar menumpukan kepada penstabilan harga, malah memastikan bekalan tenaga dan keperluan asas kekal terjamin, kos sara hidup rakyat tidak meningkat secara mendadak serta daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh untuk jangka panjang, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata kerajaan akan terus menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal termasuk bahan api, elektrik, petrokimia, baja serta bahan mentah bagi sektor industri dan pembinaan, di samping mengawal tekanan kos yang ditanggung rakyat.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi membina daya tahan ekonomi jangka panjang melalui pengukuhan keselamatan tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi kitaran, biodiesel, baja bio-organik, pembangunan industri bernilai tambah tinggi serta rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh,” katanya ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global secara dalam talian, hari ini.

Mengulas pergerakan harga minyak mentah dunia, Akmal Nasrullah berkata walaupun harga masih menunjukkan turun naik, tahap volatiliti kini dilihat semakin mereda.

“Trend ini menunjukkan bahawa krisis bekalan global masih wujud dan berpotensi memberi kesan kepada sektor minyak dan gas, petrokimia, baja, bahan pembungkusan makanan, peranti perubatan serta bahan binaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan meneruskan pemantauan rapi bagi membolehkan langkah mitigasi awal dilaksanakan secara proaktif, khususnya bagi menangani implikasi terhadap kos tenaga dan tekanan inflasi sekiranya trend kenaikan berterusan.

Menurutnya, dalam senario gangguan bekalan yang berpanjangan, pemulihan bekalan minyak mentah dijangka mengambil masa antara tiga hingga 12 bulan, manakala pembaikan infrastruktur minyak dan gas yang rosak memerlukan tempoh lebih panjang.

Bagi tempoh 20 hingga 24 April 2026, Akmal Nasrullah berkata harga purata minyak mentah Brent (spot) di pasaran global menurun sebanyak 6.7 peratus kepada US$109.94 setong berbanding US$117.84 setong pada minggu sebelumnya.

“Namun, perbandingan harga pada awal dan akhir minggu berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus,” katanya.

Pada Isnin ketikacpasaran dibuka, harga minyak mentah Brent (spot) berada pada paras US$106.02 setong sebelum meningkat kepada US$112.92 setong ketika pasaran ditutup pada Jumaat, 24 April 2026.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent (spot) pada Isnin, 27 April 2026 ditutup pada paras US$113.34 setong, lebih tinggi berbanding paras penutupan pada Jumaat sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550543