SUKAN

Ozil Gesa Malaysia Melabur Dalam Akademi Remaja Tingkat Standard Bola Sepak

27/04/2026 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Bekas bintang Arsenal dan Real Madrid Mesut Ozil menggesa Malaysia memperkukuh pelaburan dalam akademi remaja serta pembangunan di peringkat akar umbi bagi meningkatkan standard bola sepak ke peringkat global.

Ozil, yang juga bekas pemain bola sepak profesional Jerman berkata pembinaan ekosistem bola sepak yang kukuh perlu bermula dengan memupuk bakat muda melalui pendidikan yang betul serta sokongan berstruktur di semua peringkat permainan.

“Apa yang penting dalam bola sepak ialah membuat pelaburan yang baik dalam akademi dan golongan muda, serta menyokong kelab amatur dan profesional,” katanya pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia-Turkiye 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa komitmen jangka panjang terhadap pembangunan remaja mampu menyaksikan lebih banyak pemain Malaysia menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Saya fikir jika ini dilakukan sebagai sebuah negara, maka banyak pemain bola sepak Malaysia akan dapat dilihat di pentas dunia,” tambahnya.

Sementara itu, Ozil ketika mengulas mengenai pengendalian tekanan di peringkat tertinggi berkata keyakinan diri dan kepercayaan terhadap rakan sepasukan adalah kunci utama, khususnya dalam perlawanan berintensiti tinggi.

“Di atas padang, saya tidak pernah merasakan tekanan. Saya sentiasa percaya kepada diri sendiri dan rakan sepasukan. Walaupun kami tewas dalam perlawanan besar, kami tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan sebenar dapat dilihat melalui cara seseorang itu bertindak balas terhadap kegagalan.

“Jika semuanya berjalan lancar, ia mudah tetapi apabila sesuatu tidak menjadi, anda perlu belajar daripada kesilapan dan bangkit dengan lebih kuat,” tambahnya.

Sidang kemuncak yang menghimpunkan lebih 500 peserta itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye Profesor Dr Erol Ozvar.

Ia turut menampilkan forum utama yang melibatkan tokoh terkemuka seperti Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Polity Nurul Izzah Anwar.

Inisiatif strategik itu adalah usaha kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Sycamore Foundation.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550140