Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Keinginan memiliki kulit berseri dan tampak awet muda, mendorong segelintir individu khususnya wanita mencuba pelbagai amalan kecantikan berasaskan bahan semula jadi yang tular di media sosial.
Yang menjadi perhatian ketika ini antaranya ialah trend meminum campuran air lemon dan minyak zaitun selama 10 hari berturut-turut, yang didakwa mampu memberikan kesan kulit berseri dalam tempoh singkat.
Namun, di sebalik populariti trend itu, pakar dermatologi mengingatkan amalan sedemikian tidak semestinya selamat, apatah lagi jika diamalkan secara berlebihan.
pic-2
Pakar Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Sunway Velocity Datin Dr Nur Ashikin Ahmad berkata setakat ini tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa campuran lemon dan minyak zaitun mampu menjadikan kulit lebih bersih atau berseri.
Sebaliknya, beliau mengingatkan pengambilan lemon secara berlebihan berisiko mendatangkan kesan sampingan, antaranya menghakis enamel gigi selain turut mencetuskan masalah gastrik khususnya bagi mereka yang mempunyai perut sensitif.
“Lemon bersifat asidik, jadi ia boleh merosakkan enamel gigi dan meningkatkan risiko penyakit gusi. Individu yang mengalami gastrik atau pedih ulu hati juga tidak digalakkan mengambilnya secara berlebihan, apatah lagi untuk tempoh 10 hari seperti yang ditularkan,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, walaupun minyak zaitun dikenali mempunyai kandungan antioksidan dan lemak sihat, pengambilan bahan itu sahaja tidak memberi kesan langsung kepada kecantikan kulit.
pic-3
Tambahnya, amalan seperti itu juga tidak mempunyai garis panduan dos yang jelas, sekali gus tidak boleh dianggap sebagai rawatan yang diiktiraf dalam bidang perubatan.
“Penentuan dos yang selamat memerlukan kajian khusus. Dalam konteks perubatan, dakwaan tidak boleh dibuat tanpa sokongan bukti yang kukuh.
“Dari sudut pengurangan jerawat, berdasarkan penyelidikan kemungkinan wujud kaitan dengan diet Mediterranean, namun untuk kulit berseri tiada bukti saintifik. Minyak zaitun dan lemon lebih sesuai sebagai sebahagian diet seimbang, misalnya dalam salad, bukan diminum terus sebagai rutin harian,” katanya.
Pakar ini berkata masalah kulit seperti jerawat perlu dinilai secara menyeluruh sebelum seseorang itu mengambil sebarang produk memandangkan puncanya berbeza bagi setiap individu termasuk faktor hormon dan genetik.
pic-4
Senada, Pegawai Dietetik Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia Jazlina Syahrul berkata setakat ini, tiada bukti atau kajian menunjukkan pengambilan minyak zaitun dan lemon secara bersama-sama akan memberi manfaat tambahan.
“Lainlah jika diambil secara berasingan. (Ini kerana) minyak zaitun kaya dengan lemak tak tepu dan polifenol yang bersifat antioksidan selain dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit kardiovaskular dan strok serta membantu penyerapan vitamin larut lemak.
“Manakala lemon, merupakan sumber vitamin C, serat dan asid sitrik yang menyokong sistem imun, pembentukan kolagen, penyembuhan luka serta membantu penyerapan zat besi,” katanya.
Mengulas pengambilannya, beliau berkata kedua-dua bahan itu boleh diambil sebagai sebahagian daripada diet harian dalam kuantiti sederhana, namun minyak zaitun yang padat tenaga perlu dikawal dalam pengurusan berat badan.
“Secara profesional, gabungan ini dianggap neutral hingga sederhana bermanfaat berdasarkan khasiat setiap bahan dan bukan sebagai intervensi terapeutik khusus. Amalan pemakanan perlu dilihat secara menyeluruh dan seimbang, bukan bergantung kepada satu kombinasi tertentu semata-mata,” katanya.
-- BERNAMA