SUKAN

RISE Mahu Jadi 'Suara Ketiga' Sukan Negara

25/04/2026 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Reformasi dalam Sukan dan Kecemerlangan (RISE) berhasrat menjadi ‘suara ketiga’ dalam memperkukuh proses semak dan imbang berkaitan tadbir urus serta kebajikan atlet di negara ini.

Jurucakap RISE, Hamdi Jaafar berkata inisiatif yang diterajui barisan bekas atlet kebangsaan, jurulatih dan pegawai sukan itu merupakan langkah ke arah reformasi sistemik dalam arena sukan tanah air.

Bekas pelari berpagar kebangsaan itu berkata penubuhan RISE didorong oleh kebimbangan yang meningkat terhadap isu tadbir urus, khususnya dalam sukan olahraga termasuk pertikaian kepimpinan dan pematuhan peraturan yang boleh mengundang risiko sekatan antarabangsa.

“RISE mahu menjadi suara yang rasional dan bebas dalam setiap persatuan sukan yang berdepan masalah.

“Jika terdapat kelemahan dalam tadbir urus atau ketelusan keputusan, kami akan tampil memberikan pandangan serta mencadangkan penambahbaikan,” katanya pada sidang media pengenalan RISE di sini hari ini.

Beliau berkata RISE komited dalam memperjuangkan kebajikan atlet termasuk memastikan kelangsungan hidup mereka selepas bersara daripada arena sukan.

Sementara itu, Hamdi berkata pihaknya akan menganjurkan satu forum melibatkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan isu semasa serta mendapatkan maklum balas secara langsung ke arah penambahbaikan ekosistem sukan negara.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah bekas pelari berpagar kebangsaan Datuk K. Selvaratnam, Presiden Persatuan Olympian Malaysia (MOA) Noraseela Mohd Khalid serta bekas atlet heptatlon Datuk Zaiton Othman.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549268