AM

AEMM: Brunei Giat Laksana Persiapan, Sedia Sambut Tetamu

25/04/2026 04:20 PM

Daripada Fadzli Ramli

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April (Bernama) -- Bandar Seri Begawan sedang giat membuat persiapan rapi bagi menjadi tuan rumah Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah ke-25 (AEMM) yang akan berlangsung selama dua hari bermula Isnin ini.

Tinjauan Bernama di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) di sini mendapati petugas dan sukarelawan sedang membuat persiapan di dewan utama mesyuarat, bilik pertemuan dua hala serta kemudahan lain termasuk menyusun kedudukan bendera negara anggota dan kelengkapan teknikal di meja mesyuarat bagi menyambut kehadiran delegasi dari 28 negara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU).

Mesyuarat berkenaan menjadi medan untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu penting selain merapatkan hubungan dua rantau besar.

Mesyuarat itu turut akan mendapat liputan meluas daripada agensi media EU serta negara anggota ASEAN, dengan Malaysia oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Delegasi Malaysia diketuai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, pemandu e-panggilan tempatan, Awang Khairul Anuar Awang Khairie, 38, berkata penganjuran persidangan antarabangsa itu membawa kebanggaan tersendiri dan menyifatkan pemilihan Brunei sebagai tuan rumah membuktikan kemampuan negara itu dalam mengendalikan acara besar.

“Kami pemandu e-hailing dan kereta sewa lain macam duta kecil negara sepanjang minggu ini. Kamilah antara orang pertama bertegur sapa dengan media luar atau petugas delegasi. Jadi inilah peluang tonjolkan budaya sopan santun dan keramahan rakyat Brunei," katanya.

Pengusaha restoran, Dayang Hajah Aminah Urkin, 52, pula menyifatkan persidangan itu sebagai peluang keemasan untuk memperkenalkan warisan kulinari Brunei yang menurutnya diplomasi bukan sahaja berlaku menerusi mesyuarat, tetapi juga di melalui juadah tempatan.

"Saya mahu melihat tetamu dari negara serantau ASEAN dan Eropah mencuba ambuyat. Perut yang kenyang dan senyuman tetamu asing ini juga adalah kejayaan memperkenalkan negara kita kepada dunia luar,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549265