KUANTAN, 24 April (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Pegawai Kadet Adam Firdaus Arifin yang dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Antarabangsa Terbaik dalam Modular Initial Officer Training Course (MIOTC) Siri 40 di RAF College Cranwell, United Kingdom.
Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda berdua juga menzahirkan rasa bangga atas pencapaian itu yang sekali gus mengangkat martabat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada peringkat global.
“Kejayaan membanggakan ini mencerminkan keazaman, disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa yang dimiliki beliau dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” titah baginda berdua yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan Adam Firdaus, 24, terus dikurniakan kejayaan yang gemilang dalam kerjaya ketenteraan, sentiasa dilindungi serta dipermudah segala urusan dalam menjalankan amanah kepada agama, bangsa dan negara.
Baginda berdua berharap kejayaan pegawai kadet itu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha dengan penuh dedikasi demi mencapai kecemerlangan dan mengharumkan nama negara di mata dunia.
Sebelum ini, media melaporkan Adam Firdaus yang juga alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengikuti latihan itu dari 1 Sept 2025 hingga 2 April.
-- BERNAMA