KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi, disokong oleh minat belian berterusan terhadap saham wajaran tinggi terutamanya kaunter produk perbankan dan perindustrian, dalam persekitaran sentimen yang lebih baik susulan gencatan senjata Amerika Syarikat (AS)-Iran yang diperbaharui.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.06 mata atau 0.47 peratus kepada 1,718.45 daripada paras 1,710.39 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 5.16 mata lebih tinggi pada 1,715.55, bergerak dalam julat antara 1,714.41 dan 1,722.23 sepanjang sesi.
Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 557 berbanding 447, manakala 557 kaunter tidak berubah, 1,210 tidak diniagakan dan 43 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.04 bilion unit bernilai RM1.37 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan memaklumkan bahawa susulan prestasi positif Wall Street, pihaknya menjangkakan FBM KLCI akan meningkat semula hari ini.
“Sementara itu, minat belian terhadap pengeluar sarung tangan kekal jelas memandangkan sekatan berganda di Selat Hormuz menjejaskan perolehan bahan mentah, sekali gus membawa kepada harga jualan purata sarung tangan yang lebih tinggi, katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM11.24, Public Bank naik sembilan sen kepada RM4.85, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM14.56, CIMB Group menokok lapan sen kepada RM7.82 dan IHH Healthcare melonjak tiga sen kepada RM8.84.
Bagi saham aktif, AMS Advanced Material yang baru disenaraikan di Pasaran ACE kekal tidak berubah pada 29 sen, Zetrix AI berkurangan setengah sen kepada 85.5 sen, AirAsia X merosot tujuh sen kepada RM1.23, NexG melonjak 0.5 sen kepada 32 sen dan Velesto Energy tidak berubah pada 33 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries naik 98 sen kepada RM36.62, Kelington Group meningkat 30 sen kepada RM5.99, Apollo Food menokok 16 sen kepada RM5.94, UMS Integration melonjak 16 sen kepada RM6.19 dab Hong Leong Financial menambah 16 sen kepada RM19.30.
Bagi kaunter paling rugi pula, Nestle turun 44 sen kepada RM98.30, Fraser & Neave merosot 36 sen kepada RM30.56, United Plantations berkurangan 32 sen kepada RM33.40, MISC menguncup 22 sen kepada RM8.08 dan Hong Leong Industries susut 16 sen kepada RM17.42.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 melonjak 68.36 mata kepada 12,521.95, Indeks FBM Emas meningkat 63.59 mata kepada 12,681.61, Indeks FBM Mid 70 naik 139.55 mata kepada 17,974.82, Indeks FBM Emas Syariah naik 38.08 mata kepada 12,519.27 dan Indeks FBM ACE menambah 1.90 mata kepada 4,623.45.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 152.79 mata kepada 20,305.74, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.82 mata kepada 187.70, Indeks Tenaga menokok 6.74 mata kepada 828.78 dan Indeks Perladangan susut 19.25 mata kepada 8,892.38.
-- BERNAMA