SUKAN

NSFC Terima Lebih 30 Permohonan Jawatan Ketua Jurulatih Baharu -- CEO Faliq

22/04/2026 07:16 PM

SEREMBAN, 22 April (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) menerima lebih 30 permohonan bagi jawatan ketua jurulatih baharu untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, termasuk daripada calon luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata proses penilaian serta sesi temu duga kini sedang dijalankan bersama pengarah teknikal pasukan.

“Perancangan musim depan sedang dilakukan dan kami telah menerima banyak permohonan, termasuk dari Jepun, Australia, Sepanyol dan Croatia, selain calon tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Bubbles O2 kepada NSFC di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan pelantikan ketua jurulatih baharu dijangka dimuktamadkan oleh pengerusi kelab, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bulan depan.

Dalam pada itu, Faliq menjelaskan pemilihan ketua jurulatih musim depan akan memberi keutamaan kepada sistem permainan yang ditetapkan, dengan kelab kini sedang mencari jurulatih yang selari dengan falsafah berkenaan.

“Kita telah menetapkan struktur dan falsafah permainan pasukan dan kini mencari jurulatih yang mampu menyesuaikan diri dengan pendekatan tersebut dengan sokongan pengarah teknikal,” katanya.

Ketika ini, NSFC dibimbing K. Rajan sebagai ketua jurulatih sementara selepas Nidzam Jamil meletakkan jawatan pada Februari lepas.

Mengulas nasib Rajan, Faliq berkata jurulatih berkenaan masih berada dalam perancangan jangka panjang kelab dan kekal dalam barisan kejurulatihan musim depan.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 70 peratus pemain tempatan akan dikekalkan, manakala 30 peratus lagi akan ditukar berdasarkan nasihat pengarah teknikal.

“Beberapa pemain utama pasukan juga menandatangani lanjutan kontrak, manakala pemain seperti Muhammad Azri Abdul Ghani dan Luqman Hakim Shamsudin kekal bersama pasukan,” katanya.

Beliau berkata NSFC turut telah menandatangani beberapa pemain baharu termasuk pemain kebangsaan yang beraksi di temasya Sukan SEA, manakala pemain import seperti Takumi Sasaki (Jepun) dan Jovian Motika (Bosnia) kekal bersama pasukan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548158