JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Kedah Tahan 10 Termasuk Tiga Wanita Warga Asing

22/04/2026 03:13 PM

ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 10 warga asing termasuk tiga wanita dalam beberapa siri operasi di sekitar daerah Kubang Pasu dan Kuala Muda, semalam.

JIM Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan operasi yang dijalankan oleh pegawai daripada Unit Tindakan Imigresen itu melibatkan Ops Gegar, Ops Mahir, Ops Dandan, Ops Minyak dan Ops Sapu.

“Enam premis termasuk premis cuci kereta, kedai gunting rambut, kedai menjual basikal dan hotel diperiksa. Sebanyak 30 individu pelbagai warganegara diperiksa dan daripada jumlah itu, tujuh lelaki dan tiga wanita berumur antara 18 hingga 49 tahun ditahan.

“Tangkapan melibatkan warga Myanmar, India, Bangladesh, Thailand dan Indonesia yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu.

JIM Kedah memaklumkan kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Belantik untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

“JIM Kedah menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh usaha penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548036