PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Peningkatan ketara bilangan warga emas yang tinggal bersendirian di Malaysia bukan sekadar perubahan gaya hidup sebaliknya mencerminkan peralihan struktur sosial yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan, keselamatan dan kualiti hidup golongan itu.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 berhubung isu itu didorong perubahan demografi termasuk saiz keluarga yang semakin kecil, penghijrahan generasi muda ke bandar serta perubahan keupayaan ekonomi isi rumah.
“Apabila semakin ramai warga emas tinggal bersendirian, kita tidak boleh lagi melihat penjagaan mereka sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata. Realitinya, perubahan demografi dan tekanan ekonomi hari ini menuntut pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan berasaskan komuniti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, UPM melalui Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) menekankan keperluan memperkukuh sistem sokongan berasaskan rumah dan komuniti melalui penglibatan aktif jiran, sukarelawan serta pusat aktiviti warga emas sebagai rangkaian sokongan harian.
"Mekanisme pengesanan awal bagi warga emas berisiko perlu diperkasa melalui integrasi data antara agensi dan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat, fasiliti kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi keagamaan," kata Ahmad Farhan.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran akses perkhidmatan, khususnya kekangan pengangkutan yang dibangkitkan dalam dapatan NHMS 2025 perlu diberi perhatian serius kerana menjejaskan keupayaan warga emas mendapatkan rawatan secara konsisten.
"Penyediaan perkhidmatan kesihatan bergerak, pengangkutan komuniti serta program bantuan di kawasan luar bandar perlu diperluas bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada akses penjagaan kesihatan," katanya.
Pada masa sama, Ahmad Farhan berkata isu penuaan wajar diangkat sebagai agenda dasar merentas sektor yang melibatkan penyelarasan antara bidang kesihatan, kebajikan, perumahan, pengangkutan dan pembangunan komuniti selaras dengan konsep bandar dan komuniti mesra usia.
Beliau berkata Malaysia dijangka mencapai status negara menua dalam dekad akan datang, justeru fenomena peningkatan warga emas tinggal bersendirian perlu dilihat sebagai petunjuk awal kepada keperluan membangunkan sistem penjagaan jangka panjang yang lebih inklusif, mampan dan responsif terhadap realiti semasa.
"UPM komited untuk terus menyumbang melalui penyelidikan, sokongan dasar dan intervensi komuniti bagi memastikan setiap rakyat Malaysia dapat melalui proses penuaan secara bermaruah dan sejahtera," katanya.
Sementara itu, Pengarah MyAgeing UPM Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim berkata situasi tersebut mendedahkan warga emas kepada pelbagai risiko termasuk kelewatan mendapatkan rawatan kesihatan, isu keselamatan ketika kecemasan serta cabaran psikososial seperti isolasi dan kemurungan yang tidak dikesan.
"Dalam konteks ini, kebergantungan sepenuhnya kepada institusi keluarga sebagai sistem penjagaan utama tidak lagi mencukupi," katanya dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA