JENAYAH & MAHKAMAH

RADKOM: Radio Mudah Alih Digital Buatan Tempatan Perkukuh Komunikasi Strategik Negara

22/04/2026 12:11 PM

Oleh Mohd Firdaus Md Saisi

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Syarikat tempatan, Mindmatics Sdn Bhd (Mindmatics) berjaya membangunkan sistem komunikasi Radio Mudah Alih Digital (DMR) dikenali sebagai RADKOM atau Radio Komunikasi Malaysia bagi memperkukuh keupayaan komunikasi strategik negara.

Pengarah Mindmatics Abdul Wahab Sulaiman berkata sistem berkenaan yang dibangunkan sejak tahun lepas selaras dengan usaha syarikat memperkasakan teknologi komunikasi digital tempatan yang selamat, efisien dan berteknologi tinggi.

Beliau berkata nama RADKOM diberikan secara rasmi oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin semalam sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.

"RADKOM telah melalui fasa ujian dalaman dan kini bersedia untuk menjalani ujian kesesuaian oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menilai keberkesanan sistem dalam persekitaran operasi sebenar.

"Sistem ini juga menggunakan piawaian DMR yang dibangunkan mengikut standard Institut Piawaian Telekomunikasi Eropah (ETSI) yang turut diguna pakai secara meluas di peringkat global," katanya kepada Bernama.

Abdul Wahab berkata antara kelebihan utama sistem berkenaan adalah penggunaan frekuensi yang lebih efisien dan tersusun, sekali gus meningkatkan kualiti komunikasi serta mengurangkan gangguan isyarat.

Selain itu, katanya, penggunaan sistem trunking membolehkan komunikasi dilakukan dengan lebih selamat, stabil dan tersusun, terutama dalam operasi berskala besar melibatkan pelbagai agensi.

Beliau berkata sistem itu menyokong komunikasi secara berkumpulan dan individu, menjadikannya sangat sesuai untuk kegunaan pelbagai sektor termasuk agensi keselamatan, utiliti dan pengangkutan.

“Dari aspek keselamatan, RADKOM dilengkapi ciri penyulitan data berteknologi tinggi termasuk AES-256 yang merupakan piawaian penyulitan gred tentera paling kukuh di dunia buat masa ini serta dilengkapi teknologi kriptografi pasca-kuantum, sekali gus meningkatkan tahap perlindungan maklumat,” katanya.

Menyentuh mengenai spesifikasi peranti, Abdul Wahab berkata RADKOM direka dengan prestasi lasak mengikut standard ketenteraan untuk kegunaan dalam persekitaran mencabar serta menyokong operasi mod digital dan analog dengan julat frekuensi 350 hingga 479 megahertz (MHz) dan kuasa penghantaran sehingga empat wat

“RADKOM dilengkapi dengan sistem GPS, bateri berkapasiti 3000mAh jenis lithium polymer serta keupayaan operasi dalam suhu antara -20 hingga 60 darjah celsius dengan kelembapan sehingga 95 peratus,” katanya.

Beliau berkata pembangunan sistem itu merupakan langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar serta memperkukuh ekosistem keselamatan dan komunikasi tempatan dan mudah dihasilkan untuk diperluaskan di peringkat nasional bagi kegunaan industri kritikal negara pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547923