SEOUL, 21 April (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan akan menghantar pulang 12 jasad tentera China yang terbunuh ketika bertempur bersama Korea Utara dalam Perang Korea 1950-53, minggu ini, menurut kementerian pertahanan pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut kementerian itu, pihaknya akan mengadakan acara bagi menandakan penyerahan jasad berkenaan kepada China di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, barat Seoul, pada Rabu.
Korea Selatan setakat ini telah menghantar pulang 1,011 jasad tentera China sejak 2014 mengikut undang-undang dalaman dan atas dasar kemanusiaan.
Majlis tahun ini akan diadakan secara terbuka dan dihadiri pegawai-pegawai peringkat naib kementerian kedua-dua negara buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun, mengambil kira hubungan Korea Selatan-China yang bertambah baik.
-- BERNAMA-YONHAP