AM

PM Anwar Hadiri Mesyuarat Pembangunan Pasir Puteh

18/04/2026 08:05 PM

PASIR PUTEH, 18 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Mesyuarat Pembangunan Jajahan Pasir Puteh bagi tahun 2026 di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh di sini.

Ketibaan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, pada 11.50 pagi disambut Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama beberapa Exco dan pengurusan tertinggi kerajaan negeri.

Mesyuarat khas itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Selepas mesyuarat itu, Anwar dijadualkan menghadiri sesi ramah mesra dan lawatan ke Masjid Gong Chapa di sini pada 1.30 tengah hari.

Sementara itu, Anwar berkata sesi perbincangan turut memberi tumpuan kepada permasalahan mendesak yang dihadapi rakyat termasuk usaha mengurangkan risiko banjir melalui penambahbaikan sistem perparitan, saliran dan tebing sungai. 

"Alhamdulillah, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Jajahan Pasir Puteh bagi meneliti kemajuan projek serta isu-isu pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). 

"Saya menegaskan bahawa setiap perancangan tidak boleh sekadar kekal di atas kertas, sebaliknya mesti dizahirkan melalui tindakan yang tuntas, cekap dan berkesan demi manfaat rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata isu keselamatan juga tidak dipinggirkan dengan penekanan kepada pemasangan lampu solar serta kamera litar tertutup di samping keperluan menaik taraf infrastruktur, memperkukuh sosioekonomi dan memperluas jaringan kebajikan.

"Sehubungan itu, saya menyarankan agar satu pelan tindakan yang komprehensif dan bersepadu dirangka melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menangani isu utama seperti kesihatan, pendidikan dan keterjaminan makanan. 

"Moga segala ikhtiar ini dipermudah dan diberkati, seterusnya mampu mengangkat taraf hidup serta memperkasa kesejahteraan rakyat Kelantan secara menyeluruh, insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546285