LABUAN, 17 April (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) mengulangi komitmen untuk memastikan semua peralatan komunikasi dan pengawasan di bawah bidang kuasanya di pulau bebas cukai itu mematuhi piawaian kawal selia ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengurus Besar LPA Mizool Amir Mat Drus berkata komitmen itu dicapai susulan mesyuarat penyelarasan melibatkan pihak berkuasa itu, agensi penguat kuasa tempatan, pengendali jeti serta wakil daripada MCMC, yang bermatlamat menyeragamkan sistem komunikasi maritim dalam kalangan semua pengguna pelabuhan, di Megah Port Management hari ini.
“Penyeragaman ini penting bagi mengelak ketidakselarasan dalam saluran komunikasi maritim dalam kalangan pengguna pelabuhan, yang boleh menjejaskan kecekapan operasi serta keselamatan di perairan Labuan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata LPA akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua sistem komunikasi dan pengawasan adalah selaras dengan keperluan MCMC, di samping mempertingkatkan tahap kesedaran dalam kalangan komuniti pelabuhan.
“Sehubungan dengan itu, kami merancang untuk menganjurkan bengkel dan sesi libat urus khas bersama MCMC supaya komuniti pelabuhan Labuan sentiasa menerima pendedahan mengenai maklumat terkini selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.
Mizool Amir berkata LPA juga sedang meneliti untuk menaik taraf infrastruktur komunikasi dan pengawasan sedia ada termasuk pengawasan sistem radar yang memenuhi spesifikasi MCMC.
“Selain itu, LPA akan mengeluarkan garis panduan khusus dan menyebarkan maklumat melalui Notis Pelabuhan bagi memperkukuh komitmen untuk memastikan peralatan komunikasi dan pengawasan di Pelabuhan Labuan kekal mematuhi piawaian semasa,” katanya.
-- BERNAMA