EKONOMI

Empire Premium Food Sasar Pertumbuhan 3.0-5.0 Peratus Bagi Kedai Sedia Ada Setiap Tahun

17/04/2026 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Empire Premium Food Bhd yang terlibat dalam industri makanan dan minuman menyasarkan pertumbuhan antara tiga hingga lima peratus untuk kedai sedia ada setiap tahun, dengan penanda aras itu ditetapkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pengurus cawangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nicole Lim berkata syarikat pengendali jenama Empire Sushi itu menetapkan KPI tersebut untuk cawangan yang telah beroperasi selama lebih dari 12 bulan supaya prestasi boleh dibandingkan secara adil.

Beliau percaya sasaran itu boleh dicapai memandangkan syarikat telah konsisten memenuhi sasaran pertumbuhan sepanjang tiga tahun lalu dengan sokongan daripada pelanggan terhadap produknya yang mampu milik.

"Empire Sushi adalah untuk semua orang dan semua mampu membelinya, malah jualan kami sangat stabil kerana harga purata bagi setiap item hanyalah RM2.50.

"Ini kerana kami tidak menetapkan syarat perbelanjaan minimum untuk membeli produk kami. Pelanggan boleh membeli secara seunit, yang memberikan mereka kebebasan (fleksibiliti)," katanya kepada pemberita di majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

Empire Premium Food membuat kemunculan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1.10, dengan premium 40 sen atau 57.1 peratus lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu pada 70 sen, dengan 26.4 juta saham diniagakan.

Lim berkata berdasarkan keputusan kewangan untuk suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, purata perbelanjaan pelanggan bagi setiap resit adalah sekitar RM21.

Selain itu, beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan kesan kos penyewaan yang lebih tinggi, Empire Sushi mengemas kini menunya setiap suku tahun bukan sahaja untuk meningkatkan margin keuntungan, malah bagi membantu melindungi syarikat daripada masalah berkenaan.

Berhubung pengembangan syarikat, beliau berkata setakat ini belum ada sebarang rancangan untuk berkembang ke rantau ASEAN kerana Empire Premium Food sedang menumpukan usaha menambah lebih banyak cawangan di Malaysia.

"Bagi pengembangan (domestik), kami meliputi semua negeri dan rancangan pengembangan kami tertumpu terutamanya di pusat beli-belah. Kami akan menilai pusat beli-belah mana yang menawarkan lokasi strategik sebelum membuka cawangan baharu. Kami tidak menekankan mana-mana negeri secara khusus," katanya.

Syarikat itu juga tidak menghadapi sebarang masalah gangguan bekalan atau kos buat masa ini, memandangkan bahan mentah diperoleh secara tempatan, yang menyebabkan tiada kesan kos serta-merta pada peringkat ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan setakat 25 Februari, 2026, kumpulan tersebut mengendalikan sebanyak 143 cawangan Empire Sushi di 13 buah negeri dan dua di wilayah persekutuan, yang terdiri daripada 127 cawangan konsep "grab-and-go" dan 16 cawangan makan segera (quick dine-in).

Empire Premium Food juga menyasarkan untuk membuka 56 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai komitmen bagi menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dan memberikan nilai mampan jangka panjang kepada pemegang sahamnya.

Pada 5 petang, saham itu ditutup 34 sen lebih tinggi pada RM1.04, dengan 266.55 juta saham diniagakan di Bursa Malaysia.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545974