MELAKA 15 April (Bernama) -- Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas didapati bersalah cuba membunuh seorang Inspektor Polis Diraja Malaysia dengan menggunakan sebilah kerambit, Sabtu lepas.
Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fairus Abdullah, 31, selepas tertuduh mengaku salah.
Dia didakwa cuba membunuh Esmal Fhahmie Abd. Malek, 40, dengan menghayunkan sebilah kerambit ke arah mangsa dengan niat sedemikian yang boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan pada 1 pagi di Lot 1209-2, Batu 6 Lereh, Tanjung Kling pada 11 April lepas, dan pendakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, dan sebatan.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya, iaitu sebilah kerambit di tempat awam tanpa mempunyai maksud yang sah.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dilihat dalam keadaan mencurigakan dan telah melarikan diri sejauh 300 meter sambil memegang sebilah kerambit serta sebatang pemutar skru selepas pengadu, iaitu Inspektor Esmal memperkenalkan diri.
Pengadu telah meminta dia menyerah diri tetapi tertuduh enggan sambil menjerit “Aku akan bunuh polis yang cuba tahan atau tangkap aku”.
Lelaki itu kemudian bertindak menghayunkan sebilah kerambit ke arah pengadu dan hanya melepaskan senjata berkenaan selepas satu das tembakan amaran ke udara dilepaskan oleh anggota polis.
Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izatti Abdul Mutalif mencadangkan hukuman setimpal diberikan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya berjalan serentak dari tarikh ditangkap, iaitu 11 April.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh dan lima tahun serta satu sebatan bagi pertuduhan memiliki kerambit. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap.
Dalam prosiding di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu mengugut pasukan polis, Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anggota polis menggunakan sebilah parang dan Seksyen 184 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Majistret Uthman Abd Ghani kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak dari tarikh ditangkap.
-- BERNAMA